suria

Singapura Terkejut Pilihan Malaysia Tamatkan Terminal HSR Di Kompleks CIQ

Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di Johor Baharu.

SINGAPURA: Singapura 'terkejut' dengan kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bahawa ia memilih untuk menamatkan terminal Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di Johor Baharu.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu telah dipersetujui oleh kedua-dua negara pada Pemukiman Pemimpin 2013, dengan kajian dilaksanakan oleh kedua-dua negara berkenaan.  

Tahun lepas, Malaysia memutuskan untuk menempatkan terminal HSR Kuala Lumpur di Bandar Malaysia, manakala MOT berkata Singapura akan mempunyai terminal di Jurong East.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong memaklumkan perkara ini kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia pada tahun ini, dan lokasinya turut diumumkan pada sidang media bersama oleh kedua-dua pemimpin tersebut.

"Pemahaman kami ialah Malaysia melihat premis komersial projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, dan dengan yang kami persetujui, seperti yang berdasarkan hubungan terus antara dua pusat bandar," katanya, sambil menambah menutup terminal HSR Johor Baharu tidak akan mencapai matlamat tersebut.  

Jurucakap itu berkata, kedua-dua pihak sedang membincangkan model operasi dan komersial projek itu.  

"Singapura telah mencadangkan perkhidmatan HSR transit domestik akan berhenti di enam buah stesen di Malaysia antara Kuala Lumpur dan Singapura.

"Memandangkan ia khusus memberi perkhidmatan kepada perjalanan penumpang dalam Malaysia, ia seharusnya beroperasi berasingan daripada perkhidmatan HSR tanpa henti ekspres antara Kuala Lumpur dan Singapura."  

Jurucakap itu berkata, langkah ini akan memberi autonomi kepada Malaysia ke atas perkhidmatan transit domestik untuk memenuhi keperluan dalam negeri Malaysia, selain kedua-dua negara bekerjasama berhubung perkhidmatan HSR rentas sempadan.

Mengenai Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Baharu-Singapura, beliau berkata, kedua-dua negara hanya dapat menentukan jenis dan jajaran landasan selepas kedua-dua lokasi terminal disahkan.   

Singapura memaklumkan kepada Malaysia pada Jun 2011 bahawa terminal di Singapura akan terletak di stesen Woodlands North Thomson-East Coast Line.

Bagaimanapun, MOT belum menerima pengesahan rasmi lokasi terminal RTS  Malaysia di Johor Baharu. 

Jurucakap itu berkata, berbeza dengan apa yang dikatakan dalam media Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, tidak ada perjanjian dengan Malaysia bahawa landasan itu merupakan jambatan tinggi.

CIQ, SPAD

Artikel Lain