suria

Mayat Dipercayai 'Penumpang Gelap' Ditemui Di Atas Bumbung

LONDON: Mayat seorang lelaki yang mungkin merupakan 'penumpang gelap' ditemui di atas bumbung, manakala seorang lagi dirawat di sebuah hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri pada Khamis dalam pesawat British Airways dari Johannesburg sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang, kata polis pada Jumaat.

Penumpang gelap merupakan individu yang menaiki penerbangan secara haram dengan bertindak mencuri masuk dan bersembunyi melalui bahagian roda pesawat.

Polis berkata, mereka turut menemui mayat seorang lelaki di atas bumbung sebuah kedai di London yang berada di bawah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Heathrow, London, pada Khamis.

Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mayat itu terjatuh dari pesawat yang sama. 

Seorang jurucakap polis memberitahu AFP, lelaki yang ditemui hidup itu dipercayai berusia 25 dan 30 tahun dan didapati tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

Jurucakap itu bagaimanapun tidak mengulas di mana lelaki tersebut ditemui.

Tambahnya, kemungkinan dua lelaki itu merupakan penumpang gelap bagi pesawat yang sama.

Polis menerima panggilan mengenai suspek penumpang gelap pada penerbangan sejauh 12,875 kilometer dari Afrika Selatan pada pukul 8.28 pagi waktu tempatan dan panggilan berhubung penemuan mayat pada pukul 9.35 pagi waktu tempatan.

Seorang jurucakap British Airways berkata: "Kami sedang bekerjasama dengan Polis Metropolitan dan pihak berkuasa di Johannesburg bagi mendapatkan maklumat berhubung kes yang jarang berlaku seperti ini."

Pada 2012, seorang lelaki dari Mozambique terjatuh ke dari bahagian bawah sebuah pesawat dalam penerbangan dari Angola ke Lapangan Terbang Heathrow, ke jalan di bawah laluan penerbangan di barat London.

Satu inkues mendapati dia mungkin terselamat daripada suhu yang sejuk tetapi dia dalam keadaan nazak ketika dia jatuh ke tanah.

Terdapat beberapa kes mengenai penumpang gelap yang ditemui meninggal dunia berpaut pada gear pendaratan pesawat.

Pada April lalu bagaimanapun menyaksikan seorang penumpang gelap warga Indonesia terselamat dalam penerbangan selama sejam dari Sumatera ke Jakarta. - AFP

Artikel Lain