suria

Jeremy Clarkson Dakwa BBC Tawar Semula Jawatan Pengacara Top Gear Tapi Menolaknya

Jeremy Clarkson

LONDON: Bekas pengacara siri kenderaan popular dunia Top Gear, Jeremy Clarkson mendedahkan yang dia telah diminta untuk kembali mengacarakan rancangan itu oleh pengurusan tertinggi Perbadanan Penyiaran British (BBC) tetapi membuat keputusan untuk menolaknya.

Pengacara jutawan berusia 55 tahun itu tidak disambung kontraknya semula selepas siasatan dalaman BBC mendapati memang dia bertindak menumbuk dan memaki hamun penolong penerbit rancangan itu, Oisin Tymon Mac lalu ekoran perselisihan faham mengenai hidangan makan malam.

Clarkson mengesahkan kepada akhbar The Sun UK yang BBC menawarnya semula jawatan itu minggu lepas.

Beliau bagaimanapun menolak pelawaan tersebut setelah mengetahui terdapat eksekutif kanan BBC menyamakan kesnya dengan seorang lagi bekas pengacara popular BBC, Jimmy Savile yang selepas kematiannya didapati melakukan gangguan seksual ke atas berpuluh kanak-kanak yang menghadiri programnya.

"Sejak kontrak saya ditamatkan, saya telah disamakan dengan Jimmy Savile oleh seseorang yang berpangkat kanan di BBC dan ia telah terpampang dalam akhbar di seluruh Britain. Bagaimana harus saya kembali ke BBC jika saya disamakan dengan orang itu (Savile)," katanya kepada The Sun.

Sebaliknya, Clarkson mendedahkan yang beliau berhasrat untuk melancarkan satu lagi program kenderaan untuk bersaing dengan Top Gear.

Tempat Clarkson kini diambil alih oleh Chris Evans.

Menurut akhbar The Sun lagi, dua bekas rakan pengacara Clarkson di Top Gear, Richard Hammond dan James May berkemungkinan akan menyertai Clarkson dalam siri baru itu nanti.

Evans pula sebelum ini adalah pengacara satu rancangan pagi di Radio 2 BBC. Dia ditawarkan jawatan pengacara baru Top Gear Khamis lalu.

Dia bercadang membuat pembaharuan dengan menawarkan tempat kepada orang awam untuk menjadi rakan pengacaranya.

Orang ramai yang berminat mengenai kenderaan digalakkan mengirim klip video 30 saat mengenai diri mereka bercakap tentang kereta.

Satu laman web khas telah dibentuk agar calon-calon yang berminat boleh memuatnaik klip video berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain