suria

7,000 Petugas Haji Arab Saudi Akan Berkhidmat Pada Musim Haji Tahun Ini

MAKKAH: Kira-kira 7,000 petugas haji Arab Saudi akan berkhidmat sepanjang musim haji tahun ini, kata Pengerusi Muassasah Asia Tenggara, Mustafa H. Damanhouri.

Beliau yang baru dilantik untuk jawatan itu berkata ini adalah sebahagian persiapan pihaknya untuk menyambut para jemaah haji.

"Kita turut memberi tumpuan kepada urusan yang perlu dilaksanakan. Bagi Muassasah Asia Tenggara, tugas itu akan dibantu oleh 120 agensi dari Indonesia, enam agensi dari Thailand manakala Malaysia, Singapura dan Brunei masing-masing mempunyai tiga agensi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Jumaat.

Kenyataan beliau dalam bahasa Arab diterjemahkan oleh pegawai Tabung Haji (TH) Hasbullah Ahmad.

Dalam pada itu, katanya Kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk sistem haji elektronik atau 'e-hajj' bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 1.2 juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, sistem 'e-hajj' yang dikendalikan Kementerian Haji Arab Saudi itu turut mengintegrasikan sistem pengurusan haji dan umrah di negara-negara lain termasuk aplikasi 'E-Servis Haji' yang digunakan TH.

"Ia bertujuan mempertingkatkan kecekapan pengurusan jemaah haji dan umrah secara menyeluruh dengan merangkumi aspek permohonan dan kelulusan visa, penginapan serta pengangkutan. Ini bagi membantu jemaah haji yang menghadapi masalah untuk mencari jalan pulang ke tempat penginapan masing-masing dari Masjidil Haram," katanya.

Di samping itu, katanya pihaknya juga akan menyediakan kad yang mengandungi nombor-nombor penting yang boleh dihubungi oleh jemaah yang tersesat.

Katanya, bagi melancarkan lagi pergerakan jemaah haji di dalam Masjidil Haram, pihaknya turut menyediakan jadual tawaf.

Sementara itu, beliau menasihatkan para jemaah haji supaya mempersiapkan diri untuk menghadapi cuaca panas pada musim haji ini. 

"Saya berharap semua jemaah haji memberi kerjasama untuk mengurangkan kesesakan di dalam Masjidil Haram serta berlindung di bawah khemah atau payung ketika di Arafah," katanya.-- Bernama

Artikel Lain