suria

Murid Trauma Cerita Saat Rakan Sekelas Dibunuh Taliban



PESHAWAR: Seorang murid yang trauma masih mampu bercerita bagaimana rakan-rakan sekelasnya menangis sebelum dibunuh kejam oleh kumpulan militan Taliban dalam serangan ke atas sebuah sekolah milik tentera di sini.

Irfan Shah, 10, menceritakan detik hitam dalam hidupnya sambil menangis teresak-esak.

"Saya lihat seorang lelaki membawa senjata dan menembak. Saya meniarap untuk selamatkan diri, ketika itu peluru bertaburan.

"Tidak lama kemudian, saya lihat darah mula mengalir di lantai manakala rakan-rakan lain telah meninggal dunia dalam keadaan yang teruk," jelasnya.

Irfan Shah merupakan antara ratusan mangsa yang cedera manakala seramai 141 termasuk 132 murid maut dalam kekejaman itu.

Dalam kejadian ngeri itu, bukan sahaja murid ditembak mati tetapi terdapat guru yang dibakar hidup-hidup menggunakan petrol.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat seorang lelaki yang memakai jaket kalis peluru telah meluru ke dalam sekolah yang dihuni murid berusia 5 hingga 16 tahun.

Dia kemudian melepaskan tembakan rambang untuk membunuh pelajar yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera negera tersebut.

Bagaimanapun, ketibaan tentera yang yang melakukan serangan balas berjaya membunuh sembilan lelaki yang terdiri daripada ahli kumpulan militan Taliban.

Taliban

Artikel Lain