suria

Gabenor Songkla Bincang Isu Van Tanpa Permit Ke Malaysia

Boonsade telah berbincang dengan wakil persatuan pemandu van persendirian bagi menyelesaikan isu kemasukan van pelancong tanpa permit ke Malaysia.
DANOK: Gabenor Wilayah Songkhla, Grisada Boonsade mengadakan perbincangan dengan wakil persatuan pemandu van persendirian dan pelancong negara itu bagi menyelesaikan isu kemasukan van pelancong tanpa permit ke Malaysia. 

Grisada berkata menerusi perbincangan itu beliau akan mengumpul maklumat terperinci yang akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dalam tempoh terdekat. 

"Tempoh dua minggu diberikan kepada pengusaha van pelancong ini supaya menyerahkan maklumat pemandu dan van yang mahu membawa pelancong ke Malaysia," katanya kepada media selepas mengadakan perbincangan bersama wakil persatuan van pelancong di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan sebahagian pemandu van pelancong negara itu yang dikatakan mahu melakukan demonstrasi dan menghalang kemasukan bas persiaran Malaysia ke Thailand. 

Kira-kira 200 pemandu van pelancong itu tidak puas hati dengan tindakan JPJ menyaman kenderaan mereka yang tidak memiliki permit untuk membawa pelancong negara mereka memasuki Malaysia. 

Selain itu mereka turut diarah oleh JPJ untuk menurunkan penumpang di pintu sempadan dan van berpatah balik ke Thailand. 

Sementara itu, Pengerusi Van Pelancong Lima Wilayah Selatan Thailand, Ahmad Ibrahim berkata pihaknya tidak berniat untuk mengancam pelancong Malaysia yang menaiki bas persiaran berkunjung ke negara ini. 

"Kami mahu JPJ bertimbang rasa kerana kami bukannya mengambil penumpang dari Malaysia sebaliknya rakyat negara ini yang mahu melancong ke Malaysia.

"Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan pemandu teksi Malaysia yang beroperasi di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam bagi menerangkan situasi," katanya. 

Pengarah JPJ Kedah, Mohd Fadhil Hassan ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan dan berkata apa-apa keputusan mengenai isu itu akan dikeluarkan Ibu Pejabat JPJ Putrajaya. 

Menurut laporan, dari awal Januari hingga 30 April lepas, 143 kenderaan Thailand telah diperiksa dan 78 kes direkodkan melibatkan salah guna permit perjalanan antarabangsa.
Gabenor Songkla, van, permit, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain