suria

Thailand: 76 Masih Ditahan, Perintah Berkurung Dilanjut Ke 4 Pagi

BANGKOK: Mereka yang masih dalam tahanan selepas diperintah hadir dan kemudian ditahan, sejak rampasan kuasa tentera, berjumlah 76 orang, sementara 124 yang lain telah dibebaskan. 

Sementara itu, perintah berkurung masih berkuat kuasa di beberapa kawasan tetapi tempoh dipendekkan kepada 1.00 pagi hinggga 4.00 pagi dari sebelumnya 10 malam hingga 5 petang.

Junta tentera memanggil 253 orang untuk melaporkan diri kepada Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) sejak panglima Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha mengisytihar rampasan kuasa pada 22 Mei. 

Sejumlah 53 orang masih belum tampil, kata timbalan jurucakap NCPO Kol. Weerachon Sukondhapatipak pada sidang akhbar hari ini. 

Antara mereka yang telah dibebaskan ialah bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra. 

Sementara itu, jurucakap NCPO Kol. Wintai Suwaree berkata setakat ini empat orang yang enggan tampil telah dibekukan aset mereka. 

Seorang daripada mereka bekas menteri pendidikan Chaturon Chaisaeng tetapi beliau ditangkap tengah hari semalam selepas sidang akkhbarnya di Kelab Wartawan Asing Thailand (FCCT). 

Tiga yang lain ialah Jarupong Ruangsawan, bekas menteri dalam negeri; dan pemimpin-pemimpin aktivis Baju Merah Sombat Boon-ngam-anong dan Prasit Chaisrisa. 

Sementara itu, pihak junta menayangkan video menunjukkan beberapa orang tahanan mendapat layanan baik. 

Antara mereka ialah pemimpin utama kumpulan Baju Merah Jatuporn Prompan, Nuttawut Saikua, Weerakarn Musikapong, Jen. Polis Pracha Promnok, bekas timbalan perdana menteri yang juga bekas anggota pembangkang parlimen Tankun Jit-Issara. 

Kumpulan Baju Merah adalah penyokong bekas perdana menteri dalam buangan Thaksin Shinawatra.
Thailand, perintah berkurung

Artikel Sebelum

Artikel Lain