suria

33 Terbunuh Serangan Puak Pemisah Boko Haram

Guru-guru sekolah di Nigeria berhimpun pada 22 Mei lalu mendesak kerajaan bertindak lebih agresif dalam menangani serangan puak pemisah Boko Haram yang baru-baru menculik lebih 200 pelajar perempuan dari sebuah sekolah di pekan kecil di negara itu. Sehingga sekarang mereka masih belum ditemui sama ada hidup atau mati.

KANO (Nigeria): Serangan ke atas balai polis dan berek tentera di sebuah pekan dekat sini, disyaki oleh puak pemisah Boko Haram telah mengorbankan 33 anggota tentera dan polis, demikian menurut laporan agensi berita AFP pada Rabu.

Menurut laporan itu, yang memetik sumber-sumber yang layak dipercayai sebagai berkata,  18 askar dan 15 anggota polis disahkan terkorban dalam serangan di pekan Buni Yadi, yang terletak di Negeri Yobe pada lebih kurang jam 8 malam Isnin.

"Puak militan ini tiba dengan menaiki van dan memakai pakaian seragam lalu melancarkan serangan ke atas berek tentera yang terletak bertentangan dengan balai polis berkenaan," kata sumber berkenaan kepada AFP.

"Pihak tentera yang pada mulanya menyangkakan puak Boko Haram ini sebagai sebahagian daripada pasukan tentera Nigeria telah membuka pintu pagar utama dan membenarkan mereka masuk. Sebaik sahaja berjaya meloloskan diri ke dalam berek tentera itu, mereka melepaskan tembakan."

Selepas itu mereka melancarkan serangan ke atas balai polis yang mengadap berek tentera berkenaan.

Mereka kemudiannya membakar beberapa bangunan milik kerajaan sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah bangunan sekolah rendah yang kosong.

Pada 14 April lalu, kumpulan Boko Haram ini telah menculik lebih 200 pelajar-pelajar sekolah perempuan di pekan kecil Chibok.

Mereka juga turut menyerang sebuah kolej berasrama di Buni Yadi pada Februari lalu.

Mereka menyerbu masuk ke kolej tersebut dan menembak mati lebih 40 pelajar yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

Wilayah Yobe telah diletakkan di bawah perintah darurat sejak Mei tahun lalu ekoran keganasan dan kekacauan yang berpanjangan.

Boko Haram, Nigeria

Artikel Lain