suria

Menteri Perdagangan Australia Yakin Perjanjian TPP Dimuktamad

MELBOURNE: Menteri Perdagangan Australia Andrew Robb berkata perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan 12 negara Perkongsian Trans-Padifik hampir dimuktamadkan.

Menurut laporan Australian Associated Press (AAP), Robb dipetik sebagai berkata pentadbiran Obama mahu beliau ke Washington DC untuk rundingan FTA berkenaan tetapi beliau mahu menunggu perbincangan formal TPP yang dijadualkan dalam beberapa minggu lagi.

Perkongsian tersebut dirundingkan antara Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Malaysia, Mexico, Peru, Chile, New Zealand, Singapura, Brunei dan Vietnam, yang antara mereka terdiri daripada hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

Menurut AAP, Presiden Obama menetapkan tarikh akhir pada hujung 2013 untuk memuktamad perjanjian dan mendapat tekanan anggota Kongres yang mengkritik kerahsian rundingan berkenaan.

Robb yakin negara-negara terlibat bersetuju dengan TPP berkenaan.

"Ia sedia untuk dimuktamad. Ada beberapa perkara yang perlu kembali ke meja rundingan, tetapi ia hampir muktamad.

"Saya berharap dapat menyaksikan perkembangan tahun ini," katanya.

Robb berkata antara isu yang perlu dibincangkan lagi ialah bagi Jepun meliberalisasikan lagi perdagangannya dan AS perlu lebih terbuka dalam pertanian seperti gula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain