suria

Jakarta Banjir, 5,152 Penduduk Dipindahkan

JAKARTA: Beberapa kawasan di sekitar Jakarta mengalami banjir berikutan hujan berterusan sejak Ahad, menyebabkan 7,367 rumah dinaiki air, ada yang hingga empat meter, dan sejumlah 5,152 penduduk dipindahkan.

Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mencatatkan bahawa sehingga pukul 7 pagi, banjir menjejaskan 75 kawasan petempatan di 18 daerah kecil di Jakarta.

Kawasan Cawang, dalam daerah kecil Kramat Jati di Jakarta Timur yang dinaiki air sehingga empat meter, dicatat sebagai kawasan paling buruk terjejas banjir selain kawasan Cililitan, Bidara Cina dan Kampung Melayu.

Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan pada Isnin berkata di Kampung Melayu, Jatinagara, Jakarta Timur, banjir menjejaskan 1,508 rumah namun sebahagian besar penduduk tidak mahu berpindah walaupun kawasan itu sudah dinaiki air sedalam 100-250 cm.

Mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan seperti di bangunan pusat kesihatan, masjid and sekolah rendah setempat.

Kebanyakan kawasan yang dilanda banjir diakibatkan oleh melimpahnya paras air di beberapa batang sungai di Jakarta, berikutan hujan yang berterusan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain