suria

Pelajar Luar Negara Dapat Manfaat Melalui Program Inovatif Dengan Industri

MELBOURNE: Pelajar Malaysia di University of Adelaide mendapat manfaat daripada pengalaman industri hasil program baharu yang inovatif yang diperkenalkan oleh rangkaian alumni universiti itu.

Baru-baru ini, 17 pelajar dihubungkan dengan lapan syarikat terkemuka Malaysia, menghabiskan musim panas 2011-2012 dengan belajar dan mengadakan hubungan penting melalui program baharu yang dijalankan oleh University of Adelaide Alumni West Malaysia Bhd Network (AUAWMB).

Program Latihan Percutian Musim Panas, yang pertama seumpamanya bagi rangkaian alumni, ditubuhkan bagi menyokong dan berhubung dengan pelajar, kata Presiden rangkaian itu Mathew Thomas Phillip kepada "Lumen", majalah alumni University of Adelaide.

"Gambaran yang lebih besar adalah kaitannya bahawa usaha ini membawa kepada AUAWMB: bantuan langsung dan ketara bagi alumni termuda kita. Dan bagi perluasan rangkaian yang akan terhasil daripada teras kesedaran sokongan para penyokong yang sentiasa berhubung dengan kita," katanya.

Program 12 minggu ini membolehkan pelajar pelbagai jurusan seperti undang-undang, seni bina dan kejuruteraan bekerja bersama-sama dan belajar daripada syarikat yang disegani termasuk KPMG, Idea Consult dan Ferrier Hodgson.

Maklumat balas daripada pelajar yang menjalani latihan sangat menggalakkan.

"Musim panas yang lalu mungkin yang paling berharga dalam pengajian universiti saya," kata Jany Fong, pelajar ijazah sarjana muda undang-undang di mana penempatannya menyaksikan beliau bekerja dengan Peguambela dan Peguamcara Thomas Phillip.

"Saya membuat keputusan untuk menjalani latihan kerana secara peribadi saya berpendapat sudah tiba masanya saya keluar daripada zon selesa dan mendapatkan pengalaman hidup sebenar dengan bekerja di sebuah firma undang-undang," katanya.

"Saya bukan sahaja mendalami pengetahuan dan pengalaman perundangan, apa yang penting saya memperluas rangkaian saya termasuk dengan peguam, hakim dan anggota parlimen. Latihan itu bukan sahaja membuka mata dan fikiran saya tetapi ia juga satu pengalaman berharga untuk mempersiap diri saya untuk kerjaya pada masa depan.

"Selepas latihan ini, saya tahu kerjaya saya akan lebih mencabar, mengesankan dan ada cita-cita," katanya.

Rakannya yang menyertai latihan itu, Mohd Yusof memuji kemampuan bagi mendapat pengalaman kerja dan kemahiran berkomunikasi dalam persekitaran profesional.

"Saya bersyukur mendapat pengalaman berharga ini. Saya mendapat banyak pengetahuan baru, pengalaman dan meningkatkan kemahiran saya," kata Yusof, pelajar ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal yang menjalani latihan dengan Acre Works.

Pelopor bagi program ini ialah Network Career Forum, satu platform tahunan yang menghimpunkan majikan dan pelajar bersama dalam satu persekitaran rangkaian yang tidak menonjol dan Phillip berharap kejayaan program ini akan membawa kepada satu lagi forum yang lebih hebat tahun ini yang akan diadakan pada 4 Ogos. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain