suria

Indonesia Cadang Guna Zon Waktu Tunggal

JAKARTA: Dalam usaha untuk mempertingkat produktiviti dan urusan perniagaan, Indonesia, yang ketika ini terbahagi kepada tiga zon waktu, sedang mempertimbang menggunakan hanya satu zon waktu.

Di bawah cadangan kerajaan itu, penduduk di republik itu akan menetapkan jarum jam mereka kepada GMT+8. Ketika ini, zon waktu pertama ialah pada GMT+7. Jurucakap Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Indonesia (KP3EI) Edib Muslim berkata, perbezaan masa satu jam di kalangan tiga zon waktu didapati tidak berkesan.

"Misalnya, transaksi di Jakarta, yang terletak pada zon waktu Indonesia Barat, bermula pada 9 pagi dan berakhir pada 5 petang.

"Ini bererti, terdapat ruang empat jam bagi perdagangan antara penduduk di zon waktu Barat dengan Timur, yang dua jam terkedepan," beliau dilaporkan berkata oleh harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Globe, Isnin.

Edib berkata, menggunakan hanya satu zon waktu akan menghapuskan masalah seperti itu dan ia memudahkan urusniaga, oleh kerana ia membolehkan penduduk di bahagian barat, tengah dan timur Indonesia mempunyai satu waktu standard.

KP3EI ialah jawatankuasa bertanggungjawab melaksanakan Pelan Induk bagi Peningkatan dan Perkembangan Pembangunan Ekonomi Indonesia (MP3EI), yang membahagikan Indonesia kepada beberapa koridor ekonomi.

Ia dipengerusikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, sementara Menteri Penyelaras bagi Ekonomi, Hatta Rajasa, ialah pengerusi eksekutif.

Sementara itu, Hatta berkata zon waktu tunggal adalah rahmat bagi negara.

"Terdapat kajian yang menyatakan dengan zon waktu tunggal, segala urusan akan lebih cekap dan memanfaatkan, dengan itu trilion [rupiah] dapat dijimatkan," katanya.

Hatta berkata langkah itu juga akan meletakkan negara ini pada waktu yang sama dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Filipina. - BERNAMA

Artikel Lain