suria

Pemotongan Bajet Menyaksikan Tentera Britain Hilang 4,200 Anggota Sepenuh Masa

LONDON: Angkatan Tentera Britain akan menyaksikan pembuangan anggota sehingga 4,200 orang apabila jawatan-jawatan ini menjadi 'berlebihan' di bawah program pemotongan bajet pertahanan negara sehingga Pound Sterling 38 bilion dikuatkuasakan.

Ia adalah pembuangan tenaga kerja yang terbesar dalam sejarah tentera British.

Setiausaha Pertahanan Britain, Philip Hammond ketika mengesahkan angka tersebut menegaskan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Daripada jumlah tersebut, tentera darat bakal menyaksikan pemotongan jawatan yang paling besar iaitu sehingga 2,900 anggota diikuti oleh tentera udara seramai 1,000 anggota dan laut seramai 300 anggota.

Dari cabang tentera darat pula, unit Gurkhas - yang selama ini terkenal dengan kesetiaan mereka - adalah yang paling malang apabila mereka bakal menyaksikan kehilangan sehingga 400 jawatan dari kalangan mereka yang telah berkhidmat selama enam tahun.

Nasib malang yang menimpa unit Gurkhas ini telah dilabelkan oleh media massa Britain sebagai satu tragedi negara.

Jumlah anggota dalam unit Gurkhas sekarang yang berjumlah 3,500 orang telah dilihat sebagai sesuatu yang berlebihan oleh perancang bajet ketenteraan.

Menurut Kementerian Pertahanan, pelan pemotongan bajet ini juga bakal menyaksikan lapan orang brigedier jeneral tentera darat kehilangan kerja termasuk 60 leftenan kolonel dan 500 anggota infrantri.

Diperingkat tentera laut pula, lima komodor, 17 kapten, 19 pegawai anggota marin pelbagai peringkat dari leftenan kolonel, kolonel dan juga brigedier jeneral terpaksa diberhentikan.

Manakala dalam angkatan udara, 15 komodor udara, 30 kapten udara adalah di antara yang menjadi mangsa pemotongan bajet.

"Saiz defisit fiskal yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu telah memaksa kerajaan sekarang mengambil langkah drastik dengan mengurangkan saiz angkatan tentera," jelas Hammond.

Peringkat terakhir pemotongan anggota tentera ini jika diteruskan juga oleh pentadbiran sekarang bakal menyaksikan saiz angkatan tentera darat terus dikurangkan dari 100,000 anggota sekarang kepada hanya 82,000 anggota menjelang tahun 2020.

Dalam pada itu, ramai yang melihat, langkah yang diambil untuk mengurangkan anggota unit Gurkhas adalah sebagai sebahagian daripada langkah terancang untuk menyeimbangkan kejayaan kempen melanjutkan perkhidmatan anggota unit ini daripada 15 tahun kepada 22 tahun.

Kejayaan kempen yang dianjurkan oleh selebriti terkenal Britain, Joanna Lumley telah menjadikan keanggotaan tentera Gurkhas berlebihan setiap tahun akibat penambahan perkhidmatan selama tujuh tahun lagi.

Artikel Lain