suria

Yingluck Pertahan Menteri Thai Yang Disenarai Hitam AS

BANGKOK: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra pada Khamis mempertahankan pelantikan seorang menteri baru Nalinee Taveesin yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa mempunyai hubungan perniagaan dengan Zimbabwe.

Yingluck berkata Nalinee yang dijadikan Wakil Perdagangan Thailand tahun lepas sebelum dilantik ke jawatan baru sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri telah melepasi semua pemeriksaan latar belakang.

"Beliau juga memenuhi syarat semua undang-undang Thai untuk menjadi menteri," kata Yingluck.

Nama Nalinee disenarai hitam oleh Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan AS pada November 2008 kerana Nalinee yang ketika itu ahli perniagaan didakwa memudahkan urusan kewangan, harta tanah dan perniagaan permata bagi pihak isteri Presiden Zimbabwe, Grace Mugabe.

Zimbabwe dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada 2003 atas dakwaan amalan tidak demokratik dan sekatan itu turut melibatkan mereka yang mempunyai perniagaan dengan keluarga pemimpin Zimbabwe.

Nalinee menafikan semua dakwaan itu kerana beliau tidak terlibat dalam mana-mana perjanjian perniagaan dengan keluarga pemimpin Zimbabwe dan mendakwa dakwaan itu dibuat berikutan beberapa salah faham mengenai isu itu.

Beliau memberitahu media tempatan bahawa peraturan AS itu "tidak penting" kepada peranannya sebagai menteri Thai.

Nalinee berkata beliau juga tidak mempunyai aset di Amerika Syarikat, oleh itu tindakan menyenarai hitam itu tidak mempunyai kesan terhadap kedudukan kewangannya.

Aset untuk mereka yang disenarai hitam di Amerika Syarikat akan dibeku dan mereka akan dihalang daripada menjalankan transaksi kewangan atau perniagaan dengan rakyat Amerika.

Yingluck turut mempertahankan kemasukan pemimpin bersama kumpulan Baju Merah Nattawut Saikua sebagai Timbalan Menteri Pertanian dalam rombakan Kabinet pada Rabu.

Perdana menteri berkata Nattawut layak dan mempunyai keupayaan untuk tugas barunya itu.

Nalinee dan Nattawut adalah antara 10 muka baru dalam senarai Kabinet berikutan rombakan pentadbiran Yingluck yang berusia lima bulan.

Artikel Lain