suria

Jakarta Anjur Pameran Dan Pertunjukan Kebudayaan Asean 2012 Jumaat Ini

JAKARTA: Jakarta akan menjadi tuan rumah Pameran dan Pertunjukan Kebudayaan Asean 2012 yang akan diadakan di Gandaria City Mall selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Acara itu memaparkan kesenian dan kebudayaan dari 10 negara Asean yang akan diketengahkan dalam pelbagai bentuk seperti pameran dan persembahan muzikal, kata Durudee Sirichanya, Penolong Pengarah Hal Ehwal Komuniti di Sekretariat Asean di sini.

"Aktiviti ini sebahagian daripada usaha berterusan negara anggota Asean dan Sekretariat Asean untuk mendekati orang ramai dan terus melibatkan penyertaan mereka dalam acara serta aktiviti Asean," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Penyanyi Once Mekel dari Indonesia dan Maribeth dari Filipina akan mengadakan persembahan istimewa pada malam pembukaan Jumaat ini, kata Durudee.

Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan akan merasmikan acara itu, yang akan dihadiri oleh kor diplomatik dari negara anggota Asean, rakan dialognya dan kedutaan lain di Jakarta.

Tahun lepas, Asean menganjurkan beberapa siri acara dan aktiviti yang melibatkan penyertaan orang ramai, termasuk Kayuhan Ria Asean pada Julai dan Syarahan Presiden dan Hari Peringatan Asean pada 8 Ogos.

Gagasan itu turut menganjurkan Larian Lanca Asean pada Oktober, Festival Kulinari Asean pada September dan beberapa acara lain di luar mesyuarat serta sidang kemuncak Asean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain