suria

Banjir Landa 14 Daerah Di Indonesia, Tiga Terkorban

JAKARTA: Susulan hujan lebat yang turun dengan kerap sejak beberapa hari lepas, 14 daerah di Indonesia dilanda banjir yang sehingga kini mengorbankan tiga nyawa.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata kawasan terlibat ialah Pandeglang, Lebak, Serang, Bandar Serang, Bandar Cilegon, Tangerang, Pati, Bojonegoro, Lamongan, Nganjuk, Sambas, Landak, Kutai Barat, dan Kutai Kartanegara.

Banjir di Provinsi Banten, sebuah negeri yang berjiran ibu kota Jakarta, melanda Pandeglang, Lebak, Serang, Bandar Serang, Bandar Cilegon, dan Tangerang, mengakibatkan 13,755 rumah di 97 kampung di 29 daerah kecil dinaiki air antara 30 sentimeter hingga lima meter.

"Tiga orang meninggal dunia dan jalan tol Jakarta-Merak di Km 58-59 telah dinaiki air hingga satu meter," kata badan itu dalam satu kenyataan, Isnin.

Enam kampung di daerah kecil Kragilan, daerah Serang, yang terletak di sisi jalan tol Tangerang-Merak masih dinaiki air, katanya tengah hari Isnin.

Penduduk yang terjejas mendirikan khemah di tepi Jalan Tol Merak itu yang mereka dijadikan sebagai pusat pemindahan, sementara penduduk di sekitar Sungai Ciujung juga telah berpindah.

"Pada masa ini, kira-kira 2,000 warga setempat menjadikan bahu Jalan Tol Jakarta-Merak sebagai tempat pemindahan," kata badan itu.

Di provinsi Jawa Timur, iaitu sebuah lagi negeri di republik ini, banjir berlaku di daerah Bojonegoro, Lamongan dan Nganjuk setelah air Sungai Bengawan Solo melimpah dan menenggelamkan puluhan hektar sawah di daerah Bojonegoro.

Limpahan air Sungai Bengawan Solo juga menyebabkan sekurang-kurangnya 11 daripada 167 kampung di Bojonegoro serta 740 hektar sawah padi dinaiki air.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain