suria

AS Beri Amaran Kemungkinan Ancaman Pengganas Di Bangkok

BANGKOK: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Bangkok pada Jumaat, memberi amaran kemungkinan ancaman pengganas terhadap pelancong di ibu negara Thailand sambil menggesa rakyatnya sentiasa berwaspada di kawasan yang popular dengan warga asing.

"Pengganas asing mungkin sedang mencari jalan untuk menjalankan serangan terhadap kawasan pelancongan di Bangkok dalam masa terdekat," katanya dalam mesej kecemasan yang disiarkan dalam laman webnya.

"Warganegara AS digesa supaya berhati-hati ketika melawat kawasan awam di mana terdapat ramai pelancong Barat berkumpul di Bangkok," katanya.

Kerajaan Thailand berkata bahawa pihaknya telah dimaklumkan oleh AS bahawa pasangan yang disyaki "pengganas" Islam telah memasuki negara itu.

"Amerika Syarikat menghubungi kami malam tadi memaklumkan tentang kira-kira dua orang pengganas yang memasuki Thailand dan merancang aktiviti keganasan," kata Menteri Pertahanan Thailand, General Yutthasak Sasiprapha kepada AFP.

"Pegawai-pegawai perisikan kami bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan mengikuti pergerakan pengganas dengan teliti. Saya percaya kami akan dapat menangkap mereka malam ini," katanya.

"Bagi warganegara Thai, tidak ada keperluan untuk mengumumkan sebarang amaran kerana ia akan menyebabkan rakyat panik dan akan menjejaskan pelancongan kita." -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain