suria

Firma Malaysia Berpeluang Raih Projek Infrastruktur Di India

NEW YORK: Syarikat-syarikat Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk mendapat tawaran menjalankan projek infrastruktur lumayan di India, demikian menurut pakar-pakar infrastruktur India.

Semasa persidangan sehari, yang berlangsung di pejabat Konsul Besar India di sini pada Sabtu, ramai pakar India menyatakan bahawa syarikat-syarikat Malaysia yang telah memainkan peranan perintis dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia, mempunyai peluang yang baik untuk mendapat tawaran yang menarik di India.

Beberapa wakil syarikat-syarikat India pada persidangan mengakui bahawa syarikat mereka mempunyai hubungan erat dengan firma-firma Malaysia, yang kata mereka, boleh menjadi rakan kongsi yang berkesan dalam meneroka pasaran infrastruktur India.

Mereka berkata kerajaan India, yang secara agresif melabur untuk pembangunan infrastruktur negara itu, telah mengumumkan pelaburan sebanyak AS$1 trilion untuk projek-projek infrastruktur berkaitan dengan pembinaan dan pembangunan jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan laut, landasan kereta api, pembangunan bandar dan tenaga.

Pratap Vijay Padodre, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Aspire, yang berpengetahuan baik dalam infrastruktur Malaysia, menggesa Malaysia supaya meneroka peluang dalam pembangunan infrastruktur di India.

"Malaysia telah terlibat secara aktif dalam sektor pembangunan jalan raya di India. Bagaimanapun, kehadiran dan penglibatan syarikat Malaysia bukan dilihat semakin kukuh, tetapi seolah-olah semakin kurang memberangsangkan.

"Memandangkan pemulihan ekonomi global masih belum lagi kukuh dan banyak negara menghadapi bahaya berdepan kemelesetan ekonomi yang baru, India adalah salah satu daripada beberapa negara yang akan terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi.

"Selain terlibat dalam sektor logistik, syarikat-syarikat Malaysia juga boleh mendapat manfaat daripada peluang dalam bidang-bidang seperti tenaga dan air," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Sanjay Divakar Joshi, Ketua Pegawai Operasi LancoInfratech Ltd yang berpangkalan di Delhi, juga optimistik syarikat-syarikat Malaysia memasuki India pasaran infrastruktur.

"India membina kira-kira 20 kilometer jalan raya sehari. Kerajaan India membina jalan raya di seluruh negara. Terdapat penekanan kepada pembangunan penyambungan dengan kawasan luar bandar.

"Syarikat-syarikat Malaysia, secara amnya, telah berjaya dalam pembangunan infrastruktur. Syarikat Malaysia, Scomi, telah memainkan peranan penting dalam projek monorel di Mumbai. Projek tersebut juga akan dilaksanakan di Chennai, Hyderabad dan juga bandar-bandar lain," kata Joshi.

Satu lagi syarikat Malaysia, Genting Bhd, juga telah melabur dalam projek tenaga di Andhra Pradesh dan Tamil Nadu melalui kerjasama dengan Lanco, konglomerat dengan pelbagai kepentingan seperti sumber tenaga, infrastruktur dan tenaga solar, kini mengendalikan beberapa projek utama di India, khususnya di pembangunan jalan, katanya.

Satu lagi bidang yang berpotensi, kata Joshi ialah pembangunan lapangan terbang.

"Sebuah negara sebesar India hanya mempunyai 100 lapangan terbang. Terdapat ruang untuk banyak lagi. Malaysia Airports Holding Bhd, yang mempunyai kepentingan dalam lapangan terbang Hyderabad, juga boleh membantu dalam pembangunan dan pengurusan lapangan terbang di India," katanya.

Joshi berkata India telah menubuhkan kira-kira 35 lapangan terbang bukan metro di bandar raya peringkat kedua di negara itu.

"Kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan dua lapangan terbang di Varanasi dan Bhubaneshwar," katanya.

Terdapat 11 pelabuhan utama di India di bawah kawalan kerajaan.

Beliau menasihatkan syarikat Malaysia supaya mempertimbang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi India bagi meneroka pasaran dan memberi contoh Plus Expressways yang mengekalkan kehadirannya di India di mana ia terlibat dalam beberapa projek. - BERNAMA

Artikel Berikut

14 Terkorban Dalam Banjir Di Kemboja

Artikel Lain