suria

Cadangan Perjanjian Australia-Malaysia Mula Tunjuk Kesan

MELBOURNE: Cadangan perjanjian dengan Malaysia mula menunjukkan kesan apabila ketibaan bot pelarian yang mencari suaka berkurangan sejak kebelakangan ini, kata Menteri Dalam Negeri Australia Brendan O'Connor.

"Sejak pengumuman pada 7 Mei, kami melihat pengurangan yang signifikan. Hanya kira-kira 500 pelarian direkodkan berbanding 1,700 pada tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

O'Connor yang ditemu bual menerusi program 'Insider' yang disiarkan stesen televisyen ABC pada Ahad, bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perjanjian yang dijangka diumum awal minggu depan itu.

Bagaimanapun katanya, Menteri Imigresen Chris Bowen telah menegaskan perjanjian itu sudah hampir dimuktamadkan susulan perbincangan dengan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

"Kami tahu ini pendekatan yang berinovatif dan kami percaya langkah ini akan menjejaskan modal penyeludup yang berkata 'jika anda naik bot ini, kami akan bawa anda ke Australia dan anda akan menetap di sana'," katanya.

O'Connor berkata kerana percaya pada kata-kata tersebut, ramai pelarian sanggup melakukan perjalanan yang berbahaya itu, yang ada kala berakhir dengan tragedi.

Di bawah perjanjian yang diumum Perdana Menteri Julia Gillard pada 7 Mei, Malaysia akan mengambil 800 pelarian dan sebagai ganti Australia menerima 4,000 yang telah diproses.

O'Connor berkata kerajaan melaksanakan langkah itu sebagai penyelesaian berterusan bagi menangani isu yang merupakan masalah kompleks serantau.

"Menerusi pendekatan ini, saya fikir ketibaan pelarian akan terus berkurangan.

"Pada akhirnya penyeludup yang mengaut keuntungan daripada penderitaan orang lain tidak akan dapat menjual mesej yang menjadi modal mereka sekarang," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain