suria

Malaysia Sokong Idea Penganjuran Persidangan Mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear

NUSA DUA, Bali: Malaysia menyuarakan sokongan kepada idea untuk menganjurkan satu persidangan mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear di mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang berlangsung di sini Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia berpendapat bahawa berkongsi pengalaman menerusi persidangan mungkin dapat membawa manfaat kearah kemungkinan pengwujudan Zon Bebas Senjata Nuklear di Timur Tengah.

Malaysia turut menyokong keputusan yang dibuat Suruhanjaya Eksekutif SEANWFZ Ahad lepas, yang menjadikan Indonesia sebagai Pengerusi Suruhanjaya SEANWFZ, bagi mewakili Asean untuk bertemu dengan negara-negara yang memiliki Senjata Nuklear, di peringkat menteri, bagi memberi tanggungjawab kepada pakar-pakar bidang itu untuk mengadakan rundingan terus secara informal, untuk berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Perjanjian SEANWFZ, menurutnya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat SEANWFZ yang diadakan Isnin dengan dihadiri semua negara anggota Asean itu antara lain bersetuju supaya Asean mengadakan rundingan terus informal dengan Negara-negara Senjata Nuklear (Amerika, Perancis, Rusia, United Kingdom dan China) untuk berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Perjanjian SEANWFZ, sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-66.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa itu bersetuju sebulat suara untuk menjadikan Kemboja sebagai Pengerusi berikutnya Suruhanjaya SEANWFZ, berkuatkuasa Januari 2010.

Ia juga memperakui laporan kemajuan yang disediakan oleh Timbalan Setiausaha Agung Keselamatan Politik Asean mengenai Pelaksanaan Pelan Tindakan bagi Mengukuhkan Perjanjian SEANWFZ.

Ia termasuk persetujuan proses ratifikasi yang berkaitan dengan Perjanjian Pengharaman Ujian Komprehensif (CTBT) oleh Indonesia dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) oleh Laos.

Mesyuarat turut memperakui keperluan untuk mengkaji semula Pelan Tindakan bagi Mengukuh dan Melaksanakan Perjanjian mengenai SEAWFZ yang berakhir pada 2012. – BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain