suria

Direktori Perniagaan Malaysia-Indonesia 2011-2012 Siap Disember

KUALA LUMPUR: Direktori Perniagaan Malaysia-Indonesia edisi 2011-2012 yang dijangka siap hujung tahun ini dilihat dapat menggiatkan lagi aktiviti perdagangan antara dua negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata melalui penerbitan direktori yang sememangnya bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama negara, juga memberi peluang kepada peniaga Indonesia dan Malaysia meneroka sektor perniagaan baharu yang boleh memberi lebih keuntungan.

"Usaha dalam memperkukuh hubungan dagang ini perlu aktif dan berterusan agar harapan pemimpin dua negara untuk mewujudkan Komuniti Asean menjelang 2015, dapat direalisasikan," katanya pada majlis prapelancaran direktori itu di sini, Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Asia Tenggara kementerian itu, Adlan Mohd Shafiq.

Direktori yang julung kali diterbitkan itu merupakan kerjasama antara Perhimpunan Masyarakat Indonesia (Permai), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia serta Kedutaan Indonesia.

Sementara itu, Kaunselor Ekonomi Kedutaan Indonesia, Endang Rusmihaty berkata hubungan perdagangan antara dua negara itu, terutama Indonesia, meningkat dengan nilai dagangan US$12 bilion pada 2009 kepada lebih US$18 bilion tahun lepas.

Beliau berkata sebagai negara anggota Asean, hubungan dagang antara Malaysia dan Indonesia harus diperkukuh, dan dua negara tersebut perlu mengurangkan kebergantungan ekonomi mereka dengan negara-negara Eropah.

Dalam pada itu, Ketua Penyelaras Program Permai Muhammad Aidi Abd Ghani berkata direktori setebal 400 muka surat itu mengandungi kira-kira 16 bahagian yang menyenaraikan semua sektor perniagaan dua negara tersebut, antaranya automotif, farmasi, perladangan, pelancongan dan pembuatan perabot.

Muhammad Aidi berkata pada peringkat permulaan, direktori itu hanya akan diterbitkan sebanyak 10,000 naskah dan ia dijual pada harga RM50 senaskah. – BERNAMA

Artikel Lain