suria

Asean-China: Perjanjian Bersejarah Berhubung Laut China Selatan

NUSA DUA, BALI: Para pegawai kanan Asean dan China telah mencapai satu kesepakatan yang bersejarah berhubung garis panduan pelaksanaan Deklarasi mengenai Tata Laku Pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan.

Walaupun masih di peringkat awal, dokumen itu membawa harapan untuk resolusi keamanan bagi tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

"Ia adalah satu yang ketara dan permulaan yang baik bagi kita untuk bekerjasama bagi meneruskan dialog dan kerjasama dengan satu tujuan bagi menggalakkan lagi keyakinan dan kestabilan di rantau ini," kata Pham Quang Vinh pembantu kepada Menteri Luar Vietnam kepada pemberita selepas mesyuarat pegawai-pegawai kanan Asean-China (SOM) di sini, Rabu.

Pembantu Menteri Luar China Liu Zhenmin berkata para pegawai akan mengemukakan apa yang telah mereka persetujui kepada menteri mereka untuk sokongan di peringkat akhir.

"Ini merupakan satu dokumen bersejarah mengenai kerjasama di kalangan China dan negara-negara Asean.

Kita mempunyai masa depan yang cerah dan kita menanti-nantikan kerjasama pada masa depan," katanya. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, dalam ucapan perasmian mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) di sini, Selasa, menegaskan mengenai kepentingan kestabilan di kawasan itu.

“Kita perlu menghantar isyarat yang kuat kepada dunia bahawa masa depan Laut China Selatan boleh diramalkan, diuruskan dan suatu yang optimistik. Dan kita perlu memuktamadkan garis panduan yang sudah lama tertangguh.

“Kita perlu bergerak ke fasa seterusnya, iaitu untuk mengenal pasti elemen-elemen Kod Tata Laku di Laut China Selatan," kata Yudhoyono.

Inisiatif mengenai Laut China Selatan, Resolusi Konflik dan Kerjasama Keamanan, Penglibatan Rakyat adalah antara isu-isu yang dicatat dalam Kenyataan Bersama Asean yang komprehensif.

Dalam kenyataan itu, Asean menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan meneruskan eksesais mengawal diri di kalangan semua pihak yang terlibat dan menggalakkan langkah-langkah membina keyakinan di kawasan itu. Menurut kenyataan itu, Asean akan berusaha memuktamadkan garis panduan berhubung pelaksanaan deklarasi mengenai tata laku pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan.

Kenyataan itu juga menyatakan penghargaan berhubung cadangan Filipina mengenai Zon Aman, Bebas, Persahabatan dan Kerjasama dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pegawai kanan Asean, dengan kerjasama pakar perundangan maritim bagi mengkaji cadangan itu.

Pertikaian berhubung tuntutan bertindih kembali menjadi tajuk berita sejak beberapa bulan ini dengan beberapa negara yang membuat tuntutan menuduh satu sama lain kerana menceroboh tetapi pada masa yang sama, mereka juga menyuarakan sokongan untuk penyelesaian damai berhubung pertikaian mereka melalui dialog.

Kenyataan itu juga menyambut baik penubuhan Institut Perdamaian dan Keamanan Asean (AIPR). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain