suria

Ahli Parlimen: Polis London Gagal Tangani Skandal Penggodaman Telefon

LONDON: Penggubal undang-undang di Britain dalam satu laporan pada Rabu mendakwa Polis Metropolitan gagal dalam menangani cubaan akhbar News International (NI) untuk menggagalkan siasatan polis terhadap skandal penggodaman panggilan telefon.

Laporan Jawatankuasa Pilihan Dalam Negara bersetuju dengan kajian yang dibuat Penolong Pesuruhjaya John Yates bahawa siasatan yang dilakukan Scotland Yard dalam kes tersebut adalah sangat teruk dan polis didakwa membuat pertimbangan yang salah.

"Terdapat beberapa kegagalan yang dibuat oleh Polis Metropolitan dan cubaan menggagalkan siasatan polis yang dilakukan NI," kata Pengerusi jawatankuasa tersebut, Keith Vaz dalam laporan yang dikeluarkan, Selasa.

Yates memberi keterangan sebelum siasatan berakhir iaitu sehari selepas beliau mengikuti jejak langkah ketua Polis Metropolitan, Pesuruhjaya Paul Stephenson meletak jawatan ekoran skandal tersebut yang telah mengoncang cara media utama menjalankan siasatan dan laporan mereka.

Akhbar News of The World yang diterbitkan oleh News International milik taikun media, Rupert Murdoch telah ditutup 17 Julai lalu ekoran tindakan mereka menggunakan taktik kotor iaitu menggodam peti suara telefon bimbit ramai selebriti, ahli politik, keluarga diraja dan juga mangsa penculikan dan pembunuhan untuk memperolehi maklumat.

Jawatankuasa itu yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti politik telah mengkritik cara polis mengendalikan kes tersebut termasuk mengenepikan bukti yang boleh digunakan untuk membantu siasatan.

Laporan tersebut mendesak satu siasatan yang menyeluruh dan adil dilakukan terhadap satu dakwaan yang mengatakan kakitangan News of The World turut terlibat memberi rasuah kepada polis untuk mendapatkan berita.

Skandal itu telah memaksa Ketua Pegawai Eksekutif News International, Rebekah Brooks yang merupakan pegawai kesayangan Murdoch melepaskan jawatannya beberapa hari lalu.

Lebih sembilan orang termasuk bekas-bekas pengarang kanan akhbar tersebut dan Brooks sendiri ditahan polis untuk disoal-siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain