suria

Polis Britain Dituduh Bocor Maklumat Kepada News of the World

LONDON: Polis Britain pada Ahad berhadapan dengan dakwaan terbaru apabila beberapa pegawainya dikatakan membocorkan maklumat mengenai mangsa serangan pengganas dan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa pembunuhan.

Polis Britain dikatakan membocor maklumat-maklumat sulit tersebut kepada akhbar tabloid News of the World milik jutawan media, Rupert Murdoch dan memburukkan lagi skandal menggodam panggilan telefon yang dilakukan akhbar tersebut.

Akhbar The Observer berkata mangsa terselamat dalam peritiwa pengeboman kereta api London pada 7 Julai 2005 telah mengupah peguam untuk menyiasat sama ada maklumat senarai kenalan mereka telah dibocorkan atau dijual Polis Metropolitan.

Pengerusi Survivors Foundation Coalition, Beverli Rhodes berkata wartawan daripada akhbar tersebut mendekati mangsa dengan memberitahu cerita palsu bagaimana mereka memperoleh maklumat untuk menghubungi mereka.

Dalam berita yang berasingan, BBC melaporkan bahawa seorang anggota polis telah dipindahkan daripada siasatan mengenai kes kematian seorang kanak-kanak perempuan, Milly Dowler, 1,3 pada tahun 2002 selepas dia dikatakan membocorkan maklumat sulit mengenai kes itu kepada Akhbar News of the World.

Polis negeri Surrey mengesahkan laporan tersebut dengan mengatakan seorang detektif berpangkat konstabel telah dituduh berkongsi maklumat secara tidak sah dengan seorang "kawan bekas polis".

Tabloid News of the World telahpun didakwa menggodam panggilan telefon keluarga Dowler dan keluarga mangsa pengeboman keretapi London namun pertuduhan ini merupakan kali pertama polis Britain dikaitakan secara terus dengan dua kes tersebut. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain