suria

Kemboja Beri Jaminan Akan Terus Buka Pintu Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Kemboja komited untuk terus membuka pintunya kepada Malaysia bagi meneroka peluang yang tersedia di negara itu, termasuk bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi merangsang perdagangan dua hala dan usaha sama.

Para pemimpin kemboja telah menyuarakan hasrat untuk melihat peningkatan dalam dagangan dan usaha sama Kemboja-Malaysia kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa pertemuan di ibu Negeri Kemboja, Phnom Penh pada Jumaat.

Ongkili mengetuai misi khas perdagangan ICT selama seminggu ke Indochina yang meliputi Hanoi, Vientiane dan berakhir di Phnom Penh, Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Kemboja Dr Sok An pada pertemuan dengan Ongkili menyuarakan minat beliau untuk mempelajari bidang seperti keselamatan siber, e-dagang dan e-kerajaan daripada Malaysia memandangkan negara itu masih baharu dalam ICT.

“Kami berhadapan dengan banyak cabaran dan mahu memperoleh manfaat daripada keanggotaan dalam Asean, bekerja dengan jiran-jiran kami," katanya dan menambah, Kemboja memandangkan tinggi terhadap Malaysia, terutama dalam pembangunan ICT.

“Kami mempunyai dasar yang liberal terhadap pelaburan dalam sektor ICT serta peraturan ketat bagi melindungi pengguna," katanya.

Kemboja menyertai ASEAN pada 1999.

Dagangan antara Malaysia dan Kemboja berjumlah US$229.7 juta pada 2010 berbanding US$168.7 juta pada 2009.

Jumlah dagangan dalam empat bulan pertama tahun ini menunjukkan pertumbuhan import-eksport yang tinggi iaitu 59.6 peratus atau US$100.61 juta berbanding US$57.5 juta pada tempoh yang sama pada 2010.

Menteri Perdagangan Kemboja Cham Prasidh berkata Malaysia merupakan pelabur dan rakan dagang utama Kemboja pada awal 1990-an sebelum krisis ekonomi melanda kawasan ini.

"Saya memberi jaminan bahawa Kemboja akan sentiasa membuka pintu kami kepada Malaysia kerana Malaysia sangat penting kepada kami," kata Cham kepada Ongkili, dan menambah antara bidang yang boleh dimanfaat menerusi keupayaan ICT Malaysia ialah e-kerajaan, e-dagang dan telekomunikasi.

Misi perdagangan Malaysia itu turut disertai wakil agensi kerajaan seperti MDeC, Sirim, Nuclear Malaysia, BiotechCorp, Technology Park Malaysia, CyberSecurity Malaysia, Mimos dan pendaftar domain .my selain 13 syarikat bioteknologi dan ICT dan para pegawai kerajaan negeri Pahang.

Ongkili yang mengulas mengenai lawatan ke Indochina itu berkata misi itu berjaya.

"Kami disambut baik oleh rakan di sini. Malaysia juga boleh menjalin usaha sama dengan negara-negara terbabit dalam bidang tenaga alternatif, bioteknologi dan biokepelbagaian," katanya.

Sejumlah 97 pertemuan padanan perniagaan berlangsung dan 14 memorandum persefahaman (MoU) membabitkan usaha sama ICT dan bioteknologi, dimeterai sepanjang misi itu, kata Ongkili.

Pada sesi perniagaan di Kemboja, MIMOS menandatangani MoU dengan Lembaga Pembangunan ICT Nasional.

Dua MoU lain ditandatangani antara i-Solutions & Computing Malaysia dan CIDC Information Technology (CIDC-IT) Kemboja, dan antara Ceope Risk Technologies Sdn Bhd (CRIST) dan S.I Group, Kemboja untuk pemasangan penyelesaian dan aplikasi ICT.

Selain Malaysia, 350 peserta dan syarikat dalam sektor seperti perbankan, ICT dan insurans, menyertai tiga sesi perniagaan itu.

"Mereka melihat Malaysia sebagai lebih canggih memandangkan kita sudah memajukan industri ICT lebih awal. Negara-negara ini merupakan pasaran baharu untuk ICT di kawasan ini dan mereka berminat memperoleh pengetahuan dan pemindahan teknologi daripada kita,” katanya.

Semasa lawatan itu. Ongkili turut melancarkan Institut Inovasi Digital ASEAdi kampus LimKokWing University of Creative Technology di sini.

Institut itu akan menjalankan penyelidikan gunaan dalam ekonomi digital, menjalankan program latihan stratrgik, sesuai untuk keperluan negara masing-masing dan berperanan sebagai pemikir untuk urusan bekaitan ICT di kawasan Asean. – BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain