suria

AstraZeneca mengaku vaksin Covid-19 ada kesan sampingan, tapi sangat jarang berlaku

Vaksin AstraZeneca menjadi perdebatan hangat dalam komuniti perubatan. -Foto The Star

FIRMA farmaseutikal, AstraZeneca (AZ) dalam satu dokumen mahkamah di United Kingdom mengakui vaksin Covid-19 milik mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Terdahulu firma gergasi itu berdepan saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka berupaya menyebabkan kematian dan kecederaan serius, turut dikatakan dalam dakwaan itu bahawa puluhan kes sudah dilaporkan.

Beberapa peguam juga membentangkan hujah yang menegaskan vaksin tersebut boleh menghasilkan kesan sampingan buruk kepada sebilangan kecil individu.

Kes pertama tahun lalu difailkan oleh Jamie Scott, bapa kepada dua anak yang mengalami pembekuan darah dan pendarahan di otak sehingga menghalangnya daripada bekerja.

Ia dikatakan berlaku selepas Scott disuntik vaksin itu pada April 2021.

Ketika menerima rawatan, pihak hospital menghubungi isteri Scott sebanyak tiga kali secara berasingan untuk memberitahu lelaki itu akan meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, AZ membantah tuntutan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, dengan menyatakan vaksinnya dalam kes yang sangat jarang berlaku boleh menyebabkan Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS).

AstraZeneca merupakan antara pilihan yang tersedia ketika kempen vaksin Covid-19. -Foto The Star

TTS merupakan pembekuan darah dan kiraan platelet darah dalam badan menjadi rendah.

Sehingga kini, sebanyak 51 kes sudah dikemukakan di Mahkamah Tinggi, dengan mangsa menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Pengakuan AZ itu dibuat dalam pembelaan undang-undang terhadap tuntutan Mahkamah Tinggi oleh Scott.

AZ akan terpaksa memberikan pampasan jika firma terbabit mengakui vaksin mereka menyebabkan penyakit serius dan kematian dalam kes tertentu, kerajaan juga berjanji untuk membiayai kos tindakan perundangan terhadap AZ.

"Kami tidak menerima bahawa TTS disebabkan oleh vaksin pada peringkat generik," kata AZ menerusi surat jawapan yang dihantar kepada peguam Scott pada Mei 2023.

Namun pada tahun berikutnya iaitu Februari, AZ memberikan jawapan yang berbeza menerusi dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi

"Memang diakui bahawa vaksin AZ boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS. Mekanisme penyebab tidak diketahui.

"TTS juga boleh berlaku jika tiada vaksin AZ (atau mana-mana vaksin). Penyebab dalam mana-mana kes individu hanya boleh ditentukan melalui pembuktian pakar," kata AZ.

Selain itu, saintis juga mula mengaitkan vaksin itu dengan penyakit baharu dikenali sebagai immune thrombocytopenia and thrombosis (VITT)' berpunca daripada pengambilan vaksin seawal Mac 2021.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain