suria

Koperal didakwa bawa masuk bahan terlarang dalam lokap, terima suapan RM1,450

Rasuah merupakan satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,450 untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam lokap.

Tertuduh, Muhamad Alif Abdul Jamal, 33, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman, pada Isnin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,000 dan RM450 daripada seorang wanita sebagai dorongan melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal.

Suapan itu untuk membawa masuk barang terlarang iaitu tembakau kepada seorang tahanan lokap.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokap Balai Polis Chukai, Kemaman pada 17 April 2021 dan 30 November 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat antara 1 hingga 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain