suria

Bos kafe terharu staf OKU ingat hari lahir... Sedar ada hikmah gajikan insan istimewa - “Dulu saya cepat panas baran”

Kaseh terharu menerima hadiah daripada kakitangannya.

DISKRIMINASI dalam menggajikan orang kurang upaya (OKU) dalam pelbagai sektor ekonomi masih menebal dalam masyarakat.

Namun berbeza bagi pengasas Kafe D' Kaseh Cake yang terletak di Muar Johor ini apabila dia tidak menjadikan kekurangan golongan tersebut sebagai halangan.

Mahu dikenali sebagai Kaseh, wanita itu berkata dia mula menggajikan pekerja OKU sejak dari 2013, bermula dengan pengambilan pelajar pelatih yang tidak diterima mana-mana pihak.

"Saya memang dah biasa dengan mereka yang kurang upaya ni, sejak daripada dulu lagi. Banyak tempat memang tak ambil budak kurang upaya sebab katanya menyusahkan.

"Kalau mereka buat kerja memang kena tengok selalu, senang cakap mereka ini perlu diberi perhatian yang lebih... kena pantau setiap masa," katanya kepada mStar.

Kaseh bersama para pekerjanya.

Kisah Kaseh bersama pekerja OKU mendapat perhatian warga maya apabila dia berkongsi cerita tentang hadiah sempena hari ulang tahun kelahirannya pada awal April lalu.

Kata Kaseh, dia begitu terharu apabila menerima hadiah yang paling besar iaitu berupa hamper makanan daripada kakitangan OKU berkenaan.

Jelas wanita itu, bukan hadiah menjadi ukuran sebaliknya perubahan sikap yang ditunjukkan pekerja itu cukup membuatkan dia terharu.

"Dulu saya paling cepat panas baran tapi sekarang saya adalah manusia yang boleh memahami dan banyak bertenang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah hilang kerja akibat Covid-19, pemuda OKU kini seronok jadi rakan pemandu Lalamove... Siap boleh bayar pinjaman kereta!

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak kecil tak bercakap, pekak... Rider tetap kerja keras cari rezeki, rupanya ada kisah sedih

"Saya pernah mengelak untuk terima insan istimewa sebab bukan senang nak didik mereka lebih-lebih lagi dalam bidang makanan & minuman (F&B). Mereka perlu berjumpa dengan orang ramai dan saya kena didik keperibadian mereka," katanya.

Tambah Kaseh suasana kerja yang baik di kafe miliknya juga berjaya membantu mendidik pekerjanya itu yang dulu merupakan seorang yang pendiam.

"Saya ada bertanya kepada dia, pernah ke cari kerja lain, dia jawab pernah. Cuma tak ada yang nak terima dia bekerja sebab first impression apabila dia bercakap, dah boleh nampak yang dia lain daripada yang lain.

Saya pesan jangan layan dia seperti OKU, layan sama juga macam yang lain... cuma kita kena ikut cara dia.

KASEH

PEMILIK KAFE D'KASEH CAKE

"Tapi sekarang ni dah okay, sebab keluarga dia sendiri ada hubungi suami saya beritahu tentang perubahan dia.

"Dia dah mula banyak cakap dan bergaul dengan yang lain, sebelum ini dia lebih memilih untuk bersendirian," katanya.

Tambah Kaseh, dia juga berdepan cabaran untuk memastikan stafnya yang lain agar bergaul dan menerima kehadiran rakan sekerja dalam kalangan OKU.

Walaupun pada mulanya sukar, namun lama-kelamaan usahanya untuk memupuk semangat kerja berpasukan membuahkan hasil.

Kaseh menerima pekerja berstatus OKU sejak 2013.

"Ada yang beritahu saya mereka tak dapat nak bekerjasama dengan dia. Tapi saya nasihat mereka untuk cuba ajar dia perlahan-lahan. Akhirnya mereka semua dah okay.

"Saya pesan jangan layan dia seperti OKU, layan dia sama juga macam yang lain. Cuma kita kena ikut cara dia la, kita tak boleh buat cara kita.

"Memang akan ada banyak kesilapan dia buat, tapi semuanya ambil masa untuk diperbetulkan," katanya lagi.

Sementara itu Kaseh berkata dia juga gembira apabila ada dalam kalangan pelatih OKU yang didiknya berjaya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi selain diterima bekerja oleh majikan yang lain secara tetap.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain