suria

WikiLeaks Terus Buat Pendedahan Demi Pendedahan Ketika Pengasasnya Ditahan Pihak Berkuasa Britain

LONDON: laman web paling kontroversi masa kini - WikiLeaks - tidak mengendahkan peristiwa pengasasnya ditahan reman dengan menerbitkan lagi beberapa maklumat diplomatik sulit yang bakal memalukan Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian sekutu terdekatnya pada Rabu.

Selepas Julian Assange bermalam semalaman di penjara sebagai tahanan reman, laman webnya mendedahkan bagaimana Washington telah melabelkan bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd sebagai seorang yang terlalu ‘obses dengan kawalan’ dan kerajaan British sebagai lega apabila Scotland membebaskan pengembom Lockerbie.

Sementara itu, anak Assange berkata, dia berharap penahanan ayahnya di British untuk menjawab tuduhan merogol di Sweden tidak akan berakhir dengan dia diekstradisi ke AS untuk menjawab kemungkinan pertuduhan mengenai kebocoran maklumat tersebut.

Tekanan terhadap WikiLeaks semakin meningkat, dengan sumber utama pengasasnya disekat manakala jaminan terhadap Assange tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, selepas berikrar tidak akan berdiam diri, laman web tersebut menunjukkan kebolehannya dengan pendedahan terkini.

Rudd, yang kini merupakan Menteri Luar Australia cuba untuk berjenaka dengan penilaian sulit yang dibuat oleh Kedutaan AS di Canberra bahawa dia membuat kesilapan dalam polisi luar negara.

Rudd telah disifatkan oleh Amerika sebagai seorang yang begitu obses untuk menguruskan media massa lebih daripada mencuba untuk bekerjasama dengan media.

Maklumat mengenai laporan yang disediakan oleh Kedutaan Amerika di Australia itu kemudiannya telah dipetik oleh akhbar Sydney Morning Herald.

menurut laporan itu lagi, semasa Rudd menjadi perdana menteri, beliau telah ‘menyinggung’ perasaan Amerika apabila pada tahun 2008 mendesak untuk berjumpa George W. Bush di Washington, tetapi kemudian membatalkannya dua hari sebelum pertemuan itu berlangsung.

Rudd berkata, AS dan bukannya Assange yang sepatutnya dipersalahkan di atas kebocoran maklumat-maklumat sulit tersebut yang sekaligus memperlihatkan betapa mereka (AS) mempunyai masalah dengan tahap keselamatan rangkaian diplomatiknya.

“Apabila kamu mempunyai suku juta rangkaian yang mematuk-matuk di luar sana, dan di atasnya kamu mempunyai individu yang mempunyai laluan kepada sistem AS dan pelbagai rangkaian yang boleh dilawati oleh dua juta orang, di situ timbulnya masalah,” kata Rudd dalam temuramah dengan sebuah stesen radio komersial. Assange adalah warganegara Australia.

Terdapat juga kemungkinan kerajaan Britain akan dimalukan ekoran tindakan kerajaan semasa itu (Kerajaan Parti Buruh) menjauhkan diri daripada keputusan Scotland untuk membebaskan pengebom Lockerbie, Abdelbaset Ali Mohmet al-Megrahi pada tahun lalu.

Tetapi, maklumat yang disalurkan daripada Kedutaan AS di Tripoli, Libya menunjukkan Britain berkemungkinan akan berhadapan dengan ancaman daripada Libya sekiranya Megrahi yang menghidap kanser mati di penjara Scotland.

Antara ancaman tersebut, ialah pemberhentian semua aktiviti komersial Brtain di Libya dan demostrasi terhadap apa jua yang ada kaitan dengan Britain.

Perutusan itu juga menunjukkan Kedutaan Britain di Tripoli ‘meluahkan perasaan lega’ dengan pembebasan Megrahi.

“Mereka boleh melumpuhkan kita,” Duta Britain, Vincent Fean dipetik sebagai berkata di dalam laporan yang disediakan oleh Kedutaan Amerika.

Pendedahan yang memalukan juga melibatkan satu lagi sekutu AS, Arab Saudi di mana terdapat maklumat yang menunjukkan gambar parti yang diadakan di dalam Istana Putera keluarga diraja di Jeddah yang dilengkapi dengan dadah, alkohol dan seks.

Sementara pihak berkuasa Sweden menegaskan bahawa tuduhan rogol terhadap Assange tidak mempunyai kaitan dengan pendedahan di WikiLeaks, penahanannya di London menambahkan tekanan kepada laman tersebut ekoran sumber kewangannya disekat.

Visa menggantungkan semua pembayaran terhadap WikiLeaks pada Selasa, sehari selepas pesaingnya, MasterCard Worlwide mengambil langkah yang sama. Cabang perbankan pejabat pos Swiss juga menutup akaun WikiLeaks yang dibuka oleh Assange.

Anak Assange mendesak layanan yang adil dan tidak dipengaruhi oleh politik terhadap ayahnya dan berharap Britain tidak akan mencampuri untuk ‘mengekstradisi ayahnya ke AS’.

Anaknya, Daniel Assange, 20, seorang pemaju perisian dari Melbourne dilaporkan sebagai berkata, dia tidak berhubung dengan ayahnya lebih beberapa tahun, tetapi mendesak supaya ayahnya diberi layanan adil memandangkan dia kini akhirnya ditahan di Britain.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar ayah saya dilayan dengan adil dan tanpa campur tangan politik,” kata Assange pada Selasa di ruangan Twitternya.

Menteri Luar Sweden, Carl Bildt yang dalam lawatan ke Belgrade telah dipetik sebagai berkata, sehingga kini tiada hubungan antara kerajaannya dengan pihak berkuasa AS tentang kemungkinan untuk mengekstradisi Assange jika dia dibawa ke muka pengadilan Sweden.

Dalam halaman editorial akhbar The Australian, Assange mempertahankan keputusan laman webnya untuk menyiarkan 250,000 maklumat yang dipercayai disalurkan oleh seorang anggota tentera muda AS kepada WikiLeaks.

“Apa yang dicetuskan oleh WikiLeaks hari ini menunjukkan keperluan untuk mempertahankan hak media mendedahkan kebenaran,” katanya. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain