suria

Malaysia-Indonesia Perlu Ketepikan Perbezaan

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia perlu secara berterusan mencari penyelesaian yang menyeluruh bagi mengatasi sebarang 'perbezaan' yang boleh menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Asean Kementerian Luar Negeri Indonesia, Djauhari Oratmangun berkata dengan sokongan kerajaan masing-masing, rakyat kedua-dua negara berjiran itu sewajarnya mengelak daripada menimbulkan angkara negatif yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Kita sebenarnya perlu mencari jalan bagaimana perbezaan tersebut dapat memperkuatkan dan menyatukan kita", katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri bengkel dua hari untuk wartawan ASEAN mengenai perhubungan EU-ASEAN di sini, Jumaat.

Menurutnya penduduk kedua-dua negara perlu mengetepikan sikap mengungkit perkara-perkara ataupun insiden-insiden yang 'negatif' serta tidak memberi manfaat.

"Jangan terjebak sangat dengan perkara yang tidak menyenangkan (antara kedua-dua negara), banyak telahpun dihasilkan dan boleh dikembangkan ke hadapan lagi," katanya.

Djauhari berkata kerjasama yang sedia terjalin antara Indonesia-Malaysia sejak sekian lama boleh disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa apabila tidak mampu terjejas dengan beberapa insiden negatif.

"Dalam hubungan bilateral kita perlu menyelesaikan sebarang isu yang timbul daripada melengahkan perkara itu seperti mana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin dalam perbualan telefon baru-baru ini pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Pada 10 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bersetuju kedua-dua negara memerlukan mekanisme lebih baik untuk memastikan tiada lagi insiden berulang yang boleh mengancam hubungan bilateral Malaysia-Indonesia.

Djauhari juga turut menegaskan mengenai pentingnya menjalin hubungan lebih rapat antara rakyat kedua-dua negara. "Barangkali kita harus wujudkan lebih banyak program pertukaran kebudayaan termasuk program pertukaran pelajar yang semakin berkurangan kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab beberapa soalan peserta di bengkel yang berakhir hari ini berhubung peranan Indonesia untuk mengintegrasikan kalangan penduduk negara Asean sebagai masyarakat serantau menjelang 2015 seperti mana penduduk Kesatuan Eropah (EU), katanya Indonesia bertekad mencapai hasrat itu.

"Kami komited untuk menjayakan aspirasi pemimpin Asean kepada rakyat. Di Indonesia kami akan menganjurkan jerayawara untuk menjelaskan tentang komuniti Asean dan apakah manfaatnya," kataDjauhari. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain