suria

Menteri Luar Kanan Singapura Dr Balaji Meninggal Dunia

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) Singapura Dr Balaji Sadasivan meninggal dunia akibat kanser kolon di sini pada Isnin.

Dr Balaji berusia 55 tahun dan meninggalkan seorang isteri Dr Ma Swan Hoo dan dua orang anak.

Menteri Luar George Yeo, yang kini menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, memaklumkan berita kematian tersebut melalui "Twitter' dengan berbunyi: 'Berkabung atas pemergian kawan baik dan rakan Dr Balaji Sadasivan'.

Dr Balaji, yang lahir di Singapura pada 11 Julai, 1955, menjalani pembedahan bagi mengeluarkan ketumbuhan berbarah di bahagian kolon di sebuah hospital swasta di sini pada 23 September 2008.

Dr Balaji, seorang pakar bedah neuro yang terlatih di Amerika Syarikat, berkhidmat sebagai perunding di Hospital Tan Tock Seng sebelum menceburi amalan perubatan sendiri pada 1994.

Pada 2001, beliau menceburi bidang politik sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menjadi Ahli Parlimen GRC Ang Ko Kio sebelum dilantik sebagai Menteri Negara Bagi Kesihatan pada November, tahun yang sama.

Beliau juga dilantik sebagai Menteri Negara Bagi Kementerian Alam Sekitar (Nov 2001-Mei 2003) dan Kementerian Kesihatan (Mei 2003-Ogos 2004).

Pada Ogos 2004, beliau dilantik sebagai menteri kanan negara bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kementerian Kesihatan.

Pada 30 Mei, 2006, Dr Balaji dilantik sebagai Menteri Kanan Negara Bagi Ehwal Luar.

Beliau juga menduduki Lembaga Eksekutif, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei 2007.

Beliau mengikuti pengajian di National University of Singapore dan kemudian melanjutkan pengajian di Royal College of Physicians and Surgeons of Glasgow, di Scotland. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Bom Dijumpai Di Nontaburi, Thailand

Artikel Berikut

Artikel Lain