suria

Siri Serangan Bom Di Bangkok Terus berlaku

BANGKOK: Thailand teleh meningkatkan tahap keselamatan berikutan beberapa siri serangan bom di ibu negara itu sejak tiga hari lalu dan insiden terbaru berlaku selepas tengah malam Sabtu.

Kejadian terbaru itu berlaku di luar Stadium Lumba Kuda Nang Heong pada pukul 12.40 tengah malam tadi sehingga menyebabkan kerosakan dinding stadium berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kejadian maut atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. Penasihat Polis Thailand, Pol.Jen. Phanupong Singhara Nayuddhaya berkata penyerang telah menggunakan bom buatan sendiri, yang mengandungi urea, diesel, paku dan sirkit elektrik yang diisi dalam sebuah tong gas, untuk melakukan serangan itu.

Katanya siasatan awal menunjukkan bom jenis yang sama digunakan dalam serangan sebelum ini di sebuah sekolah, sebuah stor membeli-belah dan bangunan Kementerian Kesihatan.

Beliau percaya serangan terbaru itu besar kemungkinan dilakukan oleh kumpulan yang sama.

Katanya polis telah menawarkan imbuhan Baht 100,000 (RM10,101) kepada sesiapa sahaja yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek atau kumpulan yang melakukan serangan tersebut.

Pada Jumaat lalu, tiga orang termasuk dua pelajar wanita cedera apabila sebuah bom yang diletakkan dalam tong sampah meletup di Soi 29 off Rama III Road pada jam 5.30 petang.

Pada sebelah malam hari yang sama, sebuah bom meletup di daerah Taling Chan di sini, menyebabkan sebuah kereta milik seorang pelajar universiti rosak.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain