suria

Inisiatif Rapatkan Hubungan Penduduk Di Sempadana Malaysia-Thailand Disaran

HATYAI: Malaysia dan Thailand perlu meningkatkan usaha melalui semua inisiatif untuk merapatkan hubungan penduduk di kawasan-kawasan sempadan agar mereka boleh memahami satu sama lain dengan lebih baik lagi dan membentuk perkongsian perniagaan strategik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkata hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu amat mesra dan semakin kukuh dengan begitu banyak inisiatif dua hala bersama yang dilaksanakan, selain kerjasama yang dijalin di bawah rangka kerja Asean.

Beliau berkata Malaysia dan Thailand telahpun bekerjasama melalui Strategi Pembangunan Bersama (JDS) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Pengenalan Sidang Kemuncak Lima Dasar yang memberikan lebih tumpuan kepada sektor swasta, akan melengkapi kegiatan-kegiatan lain yang dilaksanakan di bawah dua inisiatif sebelumnya, kata beliau.

"Meningkatkan kegiatan perdagangan di sempadan akan menyumbang ke arah memperkukuh keseluruhan perdagangan dua hala," katanya pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak Lima Dasar pertama di sini pada Jumaat.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Trairong Suwankiri.

Hadir pada acara itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Thailand Alongkorn Ponlaboot dan Timbalan Menteri Buruh Kemboja Othsman Hassan.

Mukhriz berkata Sidang Kemuncak Lima Dasar menandakan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan Malaysia-Thai.

"Ia istimewa dalam erti kata ia merupakan usaha khusus untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan sempadan yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis di Malaysia, dan Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun di Thailand, dan melibatkan sejumlah 10.61 juta penduduk," katanya.

Beliau berkata perdagangan antara Malaysia dengan Thailand memperlihatkan trend meningkat dengan pertumbuhan purata sebanyak 12 peratus bagi tempoh 1999-2009.

"Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia dan menguasai 5.7 peratus keseluruhan perdagangan Malaysia pada 2009 atau US$15.93 bilion. Perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga Julai berjumlah US$12.2 bilion.

Dalam Asean, Thailand adalah rakan dagang kedua terbesar bagi Malaysia selepas Singapura.

"Pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dengan Thailand juga semakin meningkat. Pelaburan Malaysia ke Thailand berjumlah US$183.08 juta pada 2009. Secara terkumpul, pelaburan Malaysia di Thailand bagi tempoh 2005-2009 berjumlah US$80.99 bilion.

"Lebih penting lagi ialah hakikat bahawa pelaburan Malaysia di Thailand pelbagai, meliputi sektor-sektor dari perkilangan, perlombongan dan kuari, hinggalah kepada perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan pembinaan. Malaysia adalah pelabur kelima terbesar di Thailand," katanya.

Sementara itu, Alongkorn berkata Thailand dan Malaysia berpotensi membangunkan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat masing-masing di kawasan sempadan melalui kerjasama, perangkaian dan jalinan hubungan pegawai, sektor swasta serta masyarakat umum kedua-dua negara.

"Justeru itu, saya memulakan dan memperkenal strategi 'Koridor Ekonomi Baru 5-5-5' berikutan dasar 'Bunker ke Kaunter' untuk menggalakkan kerjasama antara lima negeri di Malaysia dengan lima wilayah selatan di Thailand dalam lima sektor ekonomi yang terdiri daripada perdagangan, pelaburan, pelancongan, logistik dan industri halal di kawasan sempadan," katanya.

Kata beliau ini selari dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Malaysia serta Koridor Ekonomi Selatan Thailand.

"Pelaksanaan Dasar Pintu Selatan antara Malaysia dengan Thailand, selain menjadi strategi untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara, juga akan menggalakkan industri pelancongan dalam Asean," tegas beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain