suria

Isteri Setiausaha Agung PBB Raikan Isteri-Isteri Ketua Kerajaan

NEW YORK: Isteri Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bansga Bersatu, Ban Soon Teak pada Khamis meraikan isteri-isteri ketua kerajaan yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-65, pada jamuan yang diadakan di kediaman rasmi pasangan itu di sini.

Isteri Presiden Amerika Syarikat Michelle Obama adalah antara yang dijemput ke majlis itu yang turut dihadiri isteri-isteri ketua negara dari seluruh dunia yang anggun mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Isteri Presiden Amerika Syarikat itu yang merupakan tetamu pertama tiba ke majlis itu tampak begitu anggun dalam pakaian musim panas berwarna-warni.

Rosmah tidak dapat hadir ke majlis itu tetapi isteri Menteri Luar Malaysia , Datin Seri Siti Robiah Datuk Abdul Samad dan isteri Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datin Amy Hamidon hadir pada jamuan itu yang diadakan di kediaman Ban yang memaparkan pemandangan indah East River dan jambatan Queensboro.

Kediaman lima tingkat berkeluasan 14,000 kaki persegi itu, dibina untuk Anne Morgan, anak perempuan ahli kewangan New York, J.P. Morgan, dan disumbangkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1972.

Terletak di kejiranan yang dihuni golongan artis dan pereka fesyen di bahagian tengah kota Manhattan, rumah itu telah menjadi kediaman rasmi setiap setiausaha agung PBB sejak Kurt Waldheim.

Ia telah menjadi tempat perjumpaan para raja, presiden, perdana menteri dan menteri luar.

Antara jiran setiausaha agung itu ialah arkitek terkemuka I.M. Pei, pereka fesyen Kenneth Cole dan aktres Hollywood Sigourney Weaver yang membintangi filem tersohor Avatar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain