JAKARTA: Seorang lelaki yang menaiki basikal meledakkan dirinya dengan bom buatan sendiri di kawasan Pasar Sumber Artha, Jalan Raya Kalimalang, Bekasi, Jawa Barat pada pagi Khamis, namun letupan itu hanya mencederakan dirinya.Lelaki berusia 38 tahun itu kini dirawat Hospital Polis Pusat Sukanto Kramat Jati, Jakarta Timur akibat luka pada bahagian kepala selain patah lengan dan kaki kanannya. Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya, Boy Rafli Amar yang meninjau tempat kejadian mengesahkan letupan itu dihasilkan oleh bahan peledak namun polis belum dapat memastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.Antara bahan yang ditemui di tempat kejadian ialah paku-paku, serbuk belerang, tali plastik, pecahan pemetik api dan sebuah basikal yang rosak akibat letupan bom itu.Turut ditemui ialah dua pucuk surat bertulis peringatan kepada pihak yang disebut sebagai "orang kafir sekutu setan" kerana telah membunuh para mujahidin.Ketua Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Kanan Imam Sugiarto berkata bom buatan sendiri itu bersifat ledakan rendah kerana tidak melukakan seorang ketua polis trafik kota Bekasi yang pada masa itu berdiri satu meter dari pengebom itu semasa kejadian pada pukul 8.15 pagi."Untuk lebih spesifik mengenai kategori bom itu, ia akan dijelaskan oleh pihak Pasukan Khusus Anti Pengganas (Densus 88)," katanya.Ketua Polis Trafik Kota Bekasi Herry Azhari berkata beliau sedang meronda seperti biasa di kawasan berkenaan semasa kejadian berlaku."Pada masa itu pelaku berada di belakang saya. Tiba-tiba apabila saya menoleh ke belakang, pelaku sudah tergelimpang di atas jalan. Di situ ada paku-paku berselerakan dan pelaku tiba-tiba bangun dan lari."Saya bersama petugas yang berada di pos lain tak jauh dari tempat kejadian telah mengejar pelaku dan berjaya menangkapnya," katanya. -BERNAMA