suria

Pesta Filem Malaysia-Australia Semakin Popular - Mustapa

MELBOURNE: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan filem sebagai alat terbaik untuk memupuk kefahaman dan penghayatan tentang pelbagai budaya dan adat resam masyarakat dari seluruh dunia.

Ketika merasmikan Pesta Filem Malaysia-Australia di sini malam tadi, Mustapa berkata beliau gembira kerana pesta itu, yang mula diperkenalkan empat tahun lepas, kini semakin popular di kalangan rakyat Australia.

Beberapa sekolah di sini dijangka menghantar pelajar untuk menonton filem Malaysia yang ditayangkan sepanjang empat hari pesta itu diadakan.

Mustapa mengucapkan syabas kepada penganjur pesta itu, Ade Djajamihardja yang dilahirkan di Indonesia dan isterinya Kate Stephens dan seorang pengurus projek dari Malaysia, Farah Al Amin, atas daya usaha mereka mempromosikan kehebatan dan keistimewaan Malaysia melalui filem.

Beliau berkata industri perfileman Malaysia sedang berkembang pesat dan mempunyai ramai penerbit, pengarah, pelakon serta juruteknik yang berbakat besar hingga berjaya menghasilkan filem yang memenangi anugerah.

Acara baru yang menghiasi pesta tersebut pada tahun ini ialah program dikenali sebagai 'Malaysia Kitchen Programme'.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang berpejabat di Sydney, Ong Yew Chee telah mendapat kerjasama empat restoran Malaysia di sini untuk menghidangkan pelbagai sajian enak pada malam pembukaan pesta itu.

Mustapa berkata program Malaysia Kitchen, yang begitu popular di Amerika Syarikat dan Britain, kini semakin mendapat sambutan di Australia.

Katanya di Australia terdapat lebih 280 restoran Malaysia yang dikenali ramai dan jumlah ini jauh lebih besar berbanding di negara lain.

Kehadiran Master Chef Australia 2010 Adam Liaw memeriahkan lagi program itu apabila hadirin berebut-rebut ingin bergambar dengannya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain