suria

Laluan Lebih Mudah Untuk Pelabur Malaysia Tambah Pelaburan Di Laos

VIENTIANE: Pemeteraian perjanjian pengelakan cukai berganda antara Malaysia dan Laos Khamis lepas dijangka mendorong lebih banyak syarikat Malaysia menimbang secara serius peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh mereka manfaatkan di negara anggota Asean itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu dalam rangka kunjungan rasmi dua harinya ke negara ini yang berakhir pada Khamis, yakin hubungan perdagangan Malaysia-Laos akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang.

Kini, terserahlah kepada golongan peniaga untuk meraih peluang besar yang terdapat di negara ini, yang ekonominya dijangka berkembang pada kadar tujuh hingga 7.5 peratus dalam tempoh setahun dua akan datang.

Malaysia merupakan negara pelabur kesembilan terbesar di Laos dengan pelaburan berjumlah AS$151.3 juta (RM495.3 juta) antara tahun 2000 dan tahun lepas dan Najib percaya jumlah itu boleh ditingkatkan pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata perjanjian tersebut akan merintis jalan ke arah peningkatan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Sejak 1986, kerajaan Laos telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif untuk sektor swasta. Ia juga secara beransur-ansur telah memberi semula tumpuan pada syarikat swasta dan meliberalkan undang-undang pelaburan asing.

Najib berkata kini, Laos berada pada fasa terakhir dalam laluannya untuk menganggotai Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

"Apabila proses ini selesai, ia akan menambah keyakinan masyarakat peniaga untuk meningkatkan urus niaga mereka di Laos," katanya.

Najib berkata dalam konteks Asean, Laos mencatat banyak kejayaan dalam meliberalkan perdagangan bagi memenuhi tarikh akhir untuknya berbuat demikian pada 2015.

Katanya langkah itu akan memberi peluang kepada Malaysia dan Laos untuk mengeratkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan.

Ketika ini, dagangan dua hala antara Malaysia-Laos hanya melibatkan beberapa produk sahaja. Nilai dagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas hanya berjumlah AS$6.8 juta (RM22.2 juta).

Import utama Malaysia dari Laos ialah produk logam dan kayu, manakala eksport utamanya pula ialah kain.

"Marilah kita sama-sama mencari jalan untuk bekerjasama, bukan saja bagi meningkatkan dagangan dua hala, tetapi juga membentuk gandingan strategik bagi memanfaatkn peluang yang lahir daripada integrasi ekonomi serantau yang lebih erat," kata Najib sebelum berlepas pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain