suria

Malaysia, Laos Realisasikan Komuniti Asean

VIENTIANE: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan bekerja rapat dengan Laos untuk merealisasikan Komuniti Asean pada 2015.

Beliau berkata Malaysia dan Laos berkongsi pandangan sama mengenai pelbagai isu penting dan berkongsi komitmen yang mendalam ke arah keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Hubungan rakyat-ke-rakyat antara kedua-dua negara telah meningkat mendadak dengan adanya penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Vientiane, katanya pada majlis makan malam yang dihoskan oleh rakan sejawatannya dari Laos, Bouasone Bouphavanh di sini malam ini.

Kedua-dua pihak hendaklah mengambil peluang dengan kemudahan ini dan maju untuk bekerja rapat dan merealisasikan banyak bidang kerjasama lain, katanya sambil menjemput Bouphavanh melawat Malaysia.

Selepas majlis makan malam itu, Najib yang diiringi isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke tanah air setelah melakukan lawatan rasmi dua hari ke Laos.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay di sini pada kira-kira pukul 9.35 malam waktu tempatan.

Turut mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Laos, Sommad Pholsena selaku menteri pengiring dan Duta Malaysia ke Laos Zainal Abidin Ahmad.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Laos sejak dilantik sebagai Perdana Menteri tahun lepas.

Lawatan itu telah berjaya meningkatkan hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara terutama dalam sektor perdagangan.

Sempena lawatan itu, Malaysia dan Laos telah menandatangani perjanjian mengelak cukai berganda serta menandatangai memorandum persefahaman dalam sektor pengajian tinggi dan sukan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain