suria

Pelajar Malaysia Di Indonesia Dinasihat Pelihara Hubungan Baik Dengan Warga Tempatan

JAKARTA: Pelajar Malaysia di Indonesia diingatkan supaya sentiasa memelihara hubungan baik dengan warga Indonesia dengan menunjukkan sikap menghormati dan toleransi.

"Malaysia dan Indonesia merupakan dua negara jiran yang sangat baik dan mempunyai sejarah hubungan yang sangat erat.

"Hargailah hubungan antara dua bangsa ini, jangan kita sampai melukai atau menghina sesama bangsa ini," kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan pada majlis jamuan Malam Kami Anak Malaysia anjuran Kelab Umno Jakarta di sini malam tadi.

Beliau berkata semua pelajar di luar negara mempunyai kewajipan menjaga imej dan nama baik Malaysia di negara mana mereka berada dan seterusnya memelihara hubungan baik rakyat kedua-dua negara.

"Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menyatakan bahawa kita (Malaysia dan Indonesia) berkongsi kemakmuran bersama. Ini harus kita perjuangkan agar kejayaan, kebahagiaan, dan kesejahteraan di masa hadapan adalah untuk kedua-dua negara secara bersama," katanya.

Syed Munshe Afdzaruddin turut menasihati pelajar Malaysia di Indonesia supaya menggunakan peluang berada di negara itu untuk menimba pengalaman melalui kegiatan berpesatuan bagi mempersiapkan diri menjadi pemimpin masyarakat apabila kembali ke tanah air.

Katanya sebagai anak Malaysia, mereka juga menggalas tanggungjawab besar untuk mendukung agenda transformasi negara yang sedang diberi keutamaan oleh Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Siti Nurhidayah Padzil, 24, lulusan ijazah kedoktoran umum dari Universiti Indonesia, telah dipilih pemenang pertama Anugerah Anak Malaysia No.1, kerana pencapaian akademik dan kokurikulum yang cemerlang.

Anak kelahiran Kedah yang memegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran kardeologi setelah pulang dan berkhidmat di tanah air nanti.

Bendahari Kelab Umno Luar Negara Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut hadir, menyampaikan bantuan wang berjumlah Rp40 juta (kira-kira RM15,000) kepada Kelab Umno Jakarta.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Lain