suria

Korea Selatan, AS Akan Ambil Tindakan Lanjut Terhadap Korea Utara

SINGAPURA: Amerika Syarikat dan sekutunya sedang mengkaji pilihan lain untuk memastikan Korea Utara dipertanggungjawabkan terhadap kejadian kapal perang Korea Selatan, Cheonan, tenggelam pada 26 Mac yang mengakibatkan 46 anak kapal terkorban.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Pertahanan AS Robert Gates pada persidangan tahunan keselamatan, Dialog Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik Shangri-La ke-9 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Gates tidak memberikan butiran lanjut mengenai pilihan itu, kecuali menyatakan sejak Cheonan tenggelam, AS, Korea Selatan dan sekutunya yang lain telah mengadakan rundingan bagi mengendalikan situasi tegang itu.

AS menyatakan negara itu akan mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan Korea Selatan dan menyokong tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Gates berkata masyarakat antarabangsa kini berdepan dengan realiti Korea Utara, yang "terus meremehkan keamanan dan kestabilan di Asia" sepertimana dibuktikan dalam serangan tanpa provokasi terhadap kapal perang Korea Selatan itu.

Beliau berkata kejadian Cheonan tenggelam itu bukannya kes terpencil sebaliknya ia merupakan sikap provokatif dan tidak peduli Korea Utara.

Gates berkata Korea Utara mempunyai pilihan untuk terus menjadi negara melarat dan paria antarabangsa, atau membuka lembaran baru tetapi negara itu sebaliknya bertindak lebih memencilkan diri daripada masyarakat antarabangsa.

"Korea Utara perlu menghentikan sikap suka berkelahi itu dan mempamerkan sikap secara jelas dan muktamad bahawa ia mahu mengambil langkah berbeza," katanya.

Beliau berkata negara-negara di rantau ini berkongsi tanggungjawab untuk menangani provokasi bahaya itu kerana jika dibiarkan, ia akan mengagalkan tanggungjawab bersama mereka untuk melindungi keamanan dan kestabilan di Asia.

Gates berkata walaupun sebagai sebuah negara Pasifik, AS percaya kepentingan keselamatan dan kemakmuran ekonominya berkait rapat dengan Asia, dan ia turut meningkatkan lagi keupayaan pencegahannya dalam beberapa cara untuk melindungi rantau ini.

Gates berkata AS akan meningkatkan pertahanan misilnya dengan cadangan untuk membangunkan keupayaan di Asia secara fleksibel dan tersusun, sesuai dengan keperluan unik sekutu dan rakan kongsinya dan mampu menangani ancaman misil balistik yang semakin meningkat di rantau itu.

Katanya AS turut memperbaharui komitmen bagi pencegahan yang lebih efektif dan tegas yang akan menjamin keselamatan rakyat Amerika dan pertahanan sekutu dan rakan kongsinya.

Beliau berkata AS komited untuk mengurangkan peranan senjata nuklear dan ia sedang berusaha mewujudkan dunia tanpa senjata itu, tetapi selagi senjata itu wujud, ia akan memastikan penggunaan nuklear secara selamat, terjamin dan efektif.

Gates juga berkata AS akan terus mengekalkan sebilangan besar anggota tentera di rantau ini sebagai tanda komitmen AS dan sebagai kuasa pencegah.

Bagaimanapun, katanya kedudukan pertahanan AS di Asia akan berubah kepada berbentuk pengagihan mengikut kedudukan geografi, operasi berdaya tahan dan kemampanan politik. - BERNAMA

Artikel Lain