suria

Akta Keselamatan Dalam Negeri Di Bangkok Mungkin Dilanjutkan

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Suthep Thaugsuban akan mencadangkan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilanjutkan sekiranya rundingan yang berlangsung hari ini antara kerajaan dan penunjuk perasaan anti-kerajaan menemui kebuntuan.

Beliau berkata penguatkuasaan ISA di seluruh Bangkok dan sebahagian daripada wilayah Nonthaburi serta Samut Prakarn yang akan berakhir esok mungkin dilanjutkan selama tujuh hari lagi.

"Cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet di sini esok, bergantung kepada keputusan rundingan hari ini antara kerajaan dan pemimpin Barisan Bersatu bagi Demokrasi menentang Diktator," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suthep berkata beliau juga akan mencadangkan supaya ISA dikuatkuasakan di Hua Hin dan kawasan sekitarnya iaitu Cha-am memandangkan mesyuarat Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC) akan diadakan di Hua Hin dari 2 hingga 5 April sebagai langkah melindungi keselamatan para pemimpin yang hadir.

Negara anggota MRC adalah Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand manakala China serta Myanmar merupakan rakan dialog.

Mesyuarat itu bertujuan mempromosi dan menyelaraskan pengurusan dan pembangunan air secara mapan serta sumber lain yang berkaitan demi manfaat bersama negara anggota dan kesejahteraan rakyatnya.

Tiga wakil daripada kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan tiga wakil daripada UDD yang diketuai oleh Veera Musikapong akan meneruskan rundingan di Institut King Prajahipok petang ini selepas Abhisit pulang daripada lawatan rasmi ke Brunei.

Kedua-dua pihak menyatakan pendirian mereka semalam berhubung beberapa isu, termasuk pembubaran Parlimen dan pindaan Perlembagaan dalam rundingan itu yang bertujuan mencari penyelesaian kepada masalah politik ketika penunjuk perasaan berbaju merah mengadakan demonstrasi jalanan sejak 12 Mac lepas. -BERNAMA

Artikel Lain