suria

Krisis Thailand: Perbincangan Jalan Damai Esok

BANGKOK: Selepas 17 hari bantahan jalanan berlangsung, kerajaan Thailand dan kumpulan antikerajaan hari ini mengadakan rundingan selama dua setengah jam bagi mencari penyelesaian kepada konflik politik di negara itu.

Dalam perkembangan bersejarah itu, kedua-dua pihak memulakan rundingan di Institut King Prajahipok di wilayah Nonthaburi pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.

Pihak kerajaan yang kesemuanya berbaju lengan panjang warna biru muda diwakili Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri, Korbsak Saphawasu dan Anggota Parlimen parti Demokrat Chamni Sakdiset.

Kumpulan antikerajaan pula diketuai pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi bagi Menentang Pentadbiran Diktator (UDD) iaitu Veera Musikapong, Jatuporn Prompan and Dr Weng Tojirakarn. Kesemuanya memakai baju merah.

Rundingan berlangsung secara aman, profesional dan matang dengan kedua-dua pihak saling mendengar malah sempat bertukar-tukar jenaka.

Antara topik yang dibangkitkan ialah pembubaran Parlimen, rampasan kuasa pada 2006 sebagai punca masalah politik sekarang, pindaan Perlembagaan, campur tangan tentera dalam politik dan perarakan besar-besaran.

Ketika rundingan itu Abhisit mengulangi kenyataannya bahawa beliau ragu pembubaran Parlimen akan menyelesaikan semua permasalahan politik.

Veera pula berpendapat peristiwa rampasan kuasa pada 19 Sept 2006 sebagai punca segala masalah sekarang yang membawa kepada penggubalan Perlembagaan yang tidak adil. Justeru katanya pilihan raya baru akan menjadi referendum sama ada Perlembagaan patut dipinda.

Abhisit yang menolak pandangan Veera berpendapat masalah sekarang sudah wujud sebelum rampasan kuasa berlaku dan partinya memimpin pentadbiran, serta menghujahkan pilihan raya dan referendum ke atas pindaan Perlembagaan adalah dua isu berasingan.

Veera juga mendakwa campur tangan pihak tentera termasuk mewujudkan kerajaan sekarang telah mendorong kumpulan 'Baju Merah' untuk membuat bantahan jalanan.

Pada rundingan itu Jatuporn memberi kata dua kepada Abhisit sama ada membubarkan Parlimen atau berdepan dengan bantahan jalanan yang beterusan, dan dibalas Perdana Menteri bahawa mereka tidak wajar memberikan kata dua kepadanya ketika kedua-dua pihak baru berunding untuk kali pertama.

Seorang lagi pemimpin UDD, Dr Weng mengkritik kerajaan kerana menghantar pasukan tentera ke ibu negara baru-baru ini, dan dijawab Abhisit bahawa kumpulan itu telah melanggar undang-undang berkaitan perarakan awam.

Perdana Menteri berkata negara lain juga tidak dapat menerima cara yang dilakukan kumpulan 'Baju Merah' itu dan menegaskan bahawa kerajaan terdahulu melayan kumpulan antikerajaan lebih buruk berbanding kerajaannya.

Beliau seterusnya menyarankan perbincangan kali kedua diadakan dan turut membuka ruang untuk mengajak wakil daripada kumpulan lain menyertai rundingan pada masa depan.

Abhisit bersetuju rundingan kali kedua diadakan esok pada pukul 6 petang waktu tempatan di tempat yang sama sekembalinya dari lawatan rasmi ke Brunei. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain