suria

Indonesia Alu Cadangan Malaysia Hapus Tarif Buku Dijual Dalam Asean

PAMPANGA (Filipina): Indonesia mengalu-alukan cadangan menghapuskan tarif penjualan buku bagi membolehkan buku-buku terbitan tempatan menembusi pasaran negara Asean.

"Kami mengalu-alukan cadangan itu kerana ianya akan membawa faedah kepada negara-negara Asean khususnya rakyat Indonesia dan Malaysia yang menggunakan bahasa yang sama," kata pegawai kanan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongannya Hubertus Sadirin kepada Bernama, di sini hari ini.

Sadirin berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan Kebudayaan dan Kesenian Asean Ketujuh dan Mesyuarat Menteri Kebudayaan dan Kesenian Asean Keempat (AMCA) yang berakhir semalam.

Isnin lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dilapor berkata Malaysia akan menggunakan saluran komuniti Asean untuk memohon penghapusan tarif itu yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga anggota Asean yang lain.

Semalam, Rais yang hadir pada AMCA di sini berkata walaupun mesyuarat itu tidak membincangkan secara khusus perkara tersebut, isu berkenaan mungkin dibincang pada peringkat dua hala antara Malaysia dan Indonesia yang mempunyai hampir 300 juta penduduk berkomunikasi menggunakan bahasa serupa.

Memberikan respons positif terhadap cadangan perbincangan dua hala antara kerajaan kedua-dua negara itu, Sadirin berharap perbincangan akan diadakan secepat mungkin.

"Ini adalah satu cadangan yang baik dan kita mengalu-alukan perbincangan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain