suria

Baju Merah Asak Tentera Kembali Ke Kem

BANGKOK: Kumpulan penunjuk perasaan anti kerajaan hari ini mengubah corak perhimpunan mereka di sini dengan cuba mengasak anggota tentera supaya kembali ke kem.

Mereka meninggalkan pentas utama perhimpunan itu di Jambatan Phan Fa di sini pada pukul 11 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia) untuk menuju ke lapan premis yang dikawal tentera lima kuil, sebuah universiti, sebuah stadium dan sebuah zoo bagi memenuhi misi itu.

"Kami akan minta mereka kembali ke kem. Kami tak mahu melihat tentera di sana. Kami mahu demokrasi. Kami akan gunakan tangan untuk mengalihkan kawat berduri," kata pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi bagi Menentang Pentadbiran Diktator (UDD) Natthawut Saikua kepada beribu-ribu penunjuk perasaan berbaju merah di pentas utama itu.

Lapan tempat yang menjadi sasaran kumpulan itu ialah Wat Bovornniwes, Wat Tri Thosathep, Wat Makutkasattiyaram, Wat Kae Nang Leong, Wat Sommanas Viharn, Nank Leong Stadium, Dusit Zoo dan Universiti Teknologi Rajamangala.

Apabila beribu-ribu penunjuk perasaan tiba di stadium berkenaan pada pukul 12 tengah hari (1 tengah hari waktu Malaysia), anggota tentera kelihatan membuka pintunya dan mula mengemaskan kelengkapan masing-masing.

Kumpulan penunjuk perasaan itu juga mengalihkan sekatan di situ bagi membolehkan kenderaan lalu-lalang.

Semua aktiviti berjalan secara aman dan terdahulu, semasa kumpulan terbabit sampai di stadium berkenaan, pemimpin UDD Jatuporn Prompan mengadakan rundingan dengan pemerintah tentera.

Sebelum ini, para pemimpin UDD beberapa kali menegaskan bahawa kehadiran anggota tentera memberi gambaran seolah-olah Thailand ditadbir oleh tentera.

Tentera dan dan polis Thailand mengadakan kawalan di tempat penting semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikuatkuasakan baru-baru ini.

Tunjuk perasaan yang bertujuan mengulingkan kerajaan itu memasuki hari ke-15 hari ini. Sebelum ini, ia diadakan secara perhimpunan dan perarakan sahaja.

Kumpulan penunjuk perasaan terbabit berpegang pada janji mereka tidak akan mengganggu Persidangan Gabungan Antara Parlimen (IPU) yang berlangsung di sini mulai hari ini.

Bagaimanapun, kempen Earth Hour 2010 yang dijadualkan diadakan di sini malam ini dibatalkan berikutan tunjuk perasaan itu, demikian diumumkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok semalam.

Bandar raya itu sepatutnya mamadam semua lampu selama sejam malam ini sebagai tanda kesepakatan dengan penduduk di seluruh dunia dalam kempen penjimatan tenaga elektrik bagi meminimumkan perubahan iklim.

Dalam perkembangan terbaru pula, anggota tentera meninggalkan stadium berkenaan pada pukul 12.40 tengah hari (1.40 tengah hari waktu) untuk kembali ke kem mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain