suria

Singapura Terima 857,000 Pelawat Pada Februari

SINGAPURA: Ketibaan pelawat ke Singapura meningkat 24.2 peratus mengikut perbandingan tahunan bulan lepas kepada 857,000.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini berkata pertumbuhan itu adalah yang tertinggi yang direkodkan, dan peningkatan bulan ketiga berturut-turut.

Dalam laporan bulanannya, STB berkata lima pasaran penjana pelawat terkemuka dalam pasaran pada Februari 2010 ialah Indonesia iaitu seramai 144,000 orang, diikuti China seramai 143,000 pelawat, Malaysia 69,000, Australia 55,000 dan United Kingdom 48,000 orang.

Pasaran ini menyumbang 53 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat pada bulan itu, kata STB.

Ia berkata China (+78.7 peratus), Malaysia (+50.0 peratus) dan Taiwan (+39.2 peratus) mencatatkan pertumbuhan tertinggi daripada 15 pasaran, yang sebahagian besarnya disumbangkan sempena cuti Tahun Baru China.

STB berkata 13 daripada 15 pasaran terkemuka juga mencatatkan pertumbuhan tahunan yang positif, mencerminkan peningkatan umum sentimen perjalanan ke Singapura.

Perolehan bilik hotel yang diwartakan dianggarkan sebanyak S$133 juta, mewakili peningkatan 5.8 peratus berbanding setahun lepas, menurut laporan itu. -BERNAMA

Artikel Lain