suria

Malaysia Berminat Jalin Kerjasama Dalam Pendidikan Dengan UAE

DUBAI: Malaysia sedang meneliti kemungkinan menanda tangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi menggalakkan lagi kegiatan dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua buah negara.

Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Yahaya Abdul Jabar, berkata satu draf berhubung cadangan MoU telah dikemukakan kepada pihak berkuasa UAE untuk pertimbangan.

Katanya kerjasama itu, antara lain, bagi memudahkan pertukaran penuntut dan kakitangan, kerjasama antara institusi pengajian tinggi seperti usaha penyelidikan bersama dan lain-lain.

"Kami amat berharap untuk menarik lebih ramai penuntut UAE untuk melanjutkan pengajian di Malaysia," katanya dalam satu temubual dengan Bernama.

Menurut Yahaya, kedutaan telah bekerjasama dengan Pusat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC) yang berpangkalan di Dubai dan dengan konsulat Malaysia di Dubai dalam usaha bersepadu untuk menjadikan MoU itu satu kenyataan. Yahaya berkata bahawa 2,000 permohonan dari bakal penuntut di UAE diproses pada 2009.

Para pemohon itu terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Yemen, Somalia dan Mesir.

Malaysia telah menarik kira-kira 25,000 penuntut dari rantau Timur Tengah pada akhir 2009.

Menjawab satu soalan, Yahaya juga mengakui bahawa saingan hebat terpaksa dihadapi dalam usaha menarik penuntut untuk melanjutkan pengajian di sesebuah negara tertentu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Malaysia mempunyai tarikan tersendiri kerana ia menawarkan pendidikan berkualiti pada harga yang kompetitif dalam suasana yang kondusif.

Dengan slogan "Ijazah Bertaraf Dunia. Nilai-Nilai Asia Sebenar" yang didokong Kementerian Pengajian Tinggi ia merumuskan apa yang ditawarkan Malaysia kepada bakal penuntut asing.

Malaysia adalah di antara negara-negara di seluruh dunia yang mempunyai perjanjian pengiktirafan silang antarabangsa bagi ijazah profesional mengikut "Washington Accord".

Sementara itu, Pengarah serantau MEPC bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Shushilil Azam Shuib, berkata usaha galakan akan ditingkatkan tahun ini bagi menggalakkan lebih ramai penuntut Timur Tengah untuk memilih institusi pengajian di Malaysia.

Sebagai tambahan kepada Dubai dan Abu Dhabi, aktiviti itu juga akan diperluaskan ke emiriyah yang lain dalam UAE.

"Kami akan menemui para majikan atau pertubuhan yang mungkin boleh menaja para penuntut dari negara ini yang berhasrat melanjutkan pengajian mereka di Malaysia," kata Shushilil Azam. Para pegawai pelajaran juga berkata terdapat rancangan untuk mendapatkan kehadiran pelbagai masyarakat di UAE dalam usaha menarik lebih ramai orang untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan.

"Antara lain, kami sedang melihat kepada rakyat Iran, Sudan, Palestin, Iraq, India dan masyarakat Pakistan di sini," katanya.

Shushilil Azam berkata penceramah terkenal dari Malaysia akan dibawa bagi membantu mempromosi kelebihan melanjutkan pengajian di Malaysia.

Sebagai tambahan bagi mempromosi Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk pendidikan, kegiatan promosi juga akan mendedahkan apa yang dimiliki Malaysia dalam bidang seperti pendidikan pelancongan dan begitu juga dengan skim Malaysia Rumah Keduaku, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain