suria

Dua Serangan Bom Selepas Mesyuarat Kabinet

BANGKOK: Dua bom meletup di Kementerian Kesihatan Awam di sini hari ini, kira-kira sejam selepas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva selesai mengadakan sidang Kabinetnya di situ.

Menteri Kesihatan Awam Jurin Laksanawisit berkata tidak ada orang yang cedera dalam serangan 2.30 petang itu (3.30 petang waktu Malaysia) di kawasan parkir Jabatan Kesihatan Mental di kementerian berkenaan.

Letupan itu merosakkan bumbung tempat parkir dan dua buah kereta, kata beliau.

"Saya tidak tahu motif serangan tetapi saya percaya ada kaitan dengan situasi politik sekarang," Jurin memberitahu pemberita selepas memeriksa kawasan serangan.

Beliau tidak dapat mempastikan jenis bom yang digunakan oleh kerana siasatan masih berjalan, tetapi percaya serangan itu dilancarkan dari lebuh raya bersebelahan.

Abhisit meninggalkan premis itu kira-kira 1.30 ptg, selepas mempengerusikan mesyuarat dan mengadakan sidang akhbar.

Kabinet mengadakan sidang mingguan di kementerian itu hari ini dan tidak di Rumah Kerajaan di sini sebagaimana biasa, agar berjauhan dari kawasan tunjuk perasaan dekat bangunan itu.

Perdana Menteri berkata Kabinet setuju melanjutkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh hari lagi sehingga 30 Mac, sebagai langkah memelihara keamanan dan keselamatan, berikutan protes anti-kerajaan yang sedang berlangsung.

Beliau berkata Kabinet juga bersetuju mengurangkan jumlah wilayah yang dilindungi menerusi undang-undang pencegahan dari lapan kepada tiga Bangkok, Nonthaburi dan Samut Prakarn oleh kerana protes itu berpusat di ibu negara.

Kabinet bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pemantau Keselamatan yang diketuai oleh timbalannya yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan, Suthep Thaugsuban, katanya.

ISA yang dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 11 Mac, meliputi lapan wilayah selama 13 hari, berakhir hari ini.

Penunjuk perasaan anti-kerajaan merancang mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran Sabtu ini di ibu negara, dan dengan melanjutkan ISA, tentera dan polis boleh dikerah untuk menjamin keamanan dan keselamatan.

Diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin tertentu pembangkang cuba mempengaruhi parti-parti gabungan kerajaan dalam usaha mereka mendesak pembubaran Parlimen, Abhisit percaya kerajaan gabungan cukup kukuh dan stabil.

Abhisit jarang berada di pejabatnya di Rumah Kerajaan sejak tunjuk perasaan anti-kerajaan bermula pada 12 Mac. Beliau melaksanakan tugasnya pada kebanyakan masa di Markas Pemerintah di sebuah pangkalan tentera di sini.

Ditanya bila beliau akan kembali ke pejabatnya, perdana menteri berkata: "Ia bergantung pada keadaan".

Malahan, Abhisit tidak tidur di kediamannya di sini, di sepanjang tempoh tunjuk perasaan dan berkata beliau cukup merasa terpisah dari keluarganya. - BERNAMA

Artikel Lain