suria

Pesawat Qantas Ke Singapura Berpatah Balik Ke Sydney Kerana Masalah Enjin

MELBOURNE: Sebuah pesawat Qantas yang dalam penerbangan ke Singapura terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Sydney selepas menghadapi masalah enjin.

Seorang juruterbang menyedari "masalah" itu sejurus selepas pesawat QF5 yang hampir penuh dengan penumpang berlepas dari Sydney kira-kira 5.10 petang waktu tempatan pada Selasa, menurut syarikat penerbangan berkenaan.

Pesawat itu, yang sedang terbang merentasi lautan, berpatah balik dan membuang bahan api semasa dalam perjalanan sebagai memenuhi keperluan pendaratan.

Ia selamat mendarat kira-kira 6.15 petang waktu tempatan.

Kesemua 414 penumpang terus berada dalam pesawat semasa jurutera memeriksa masalah itu, kata jurucakap Qantas kepada Australian Associated Press.

Mereka akan hanya dibenarkan keluar dari pesawat, dan sebuah kapal terbang gantian diuruskan, jika masalah itu besar dan tidak dapat dibaiki segera, katanya.

Sebaliknya, pesawat berkenaan akan meneruskan perjalanan ke Singapura, dan kemudian ke London.

Jurucakap itu berkata keadaan itu bukanlah satu kecemasan.

"Juruterbang mengesahkan bahawa terdapat masalah dengan pesawat dan kami percaya ia memberi kesan kepada salah sebuah enjinnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain