suria

Abhisit Tidak Akan Berbincang Jika Diancam

BANGKOK: Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata beliau tidak akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin penyokong anti kerajaan jika mereka mengancam menceroboh kem tentera dan pejabat kerajaan.

"Parlimen juga tidak akan dibubarkan jika diancam," katanya dalam ucapan mingguan di televisyen hari ini.

Abhisit mengulas mengenai ancaman yang dibuat oleh pemimpin Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) iaitu mereka akan memasuki markas Regimen Infranti ke-11 di sini, walaupun tanpa kebenaran untuk berbincang dengan Abhisit.

Pemimpin UDD Veera Musikapong semalam berkata beliau akan memanjat pagar kem itu jika beliau tidak diberi kebenaran memasuki kem untuk berbincang dengan Abhisit.

Kerajaan menggunakan kem itu sebagai pusat arahannya dalam menyelia pelaksanaan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di semua wilayah di Bangkok dan sebahagian wilayah Nonthaburi dan Samut Prakarn.

UDD, yang mengetuai penunjuk perasaan berbaju merah yang pro-Thaksin, merancang untuk menggerakkan perhimpunan besar-besaran di kem itu hari ini.

Bantahan itu yang telah berlangsung selama 17 hari diadakan untuk memberi tekanan terhadap Abhisit agar meletakkan jawatan dan membubarkan Parlimen.

Sebelum ini, Abhisit berkata kerajaan bersedia mengadakan perbincangan secara aman dengan pemimpin kumpulan baju merah.

Mengulas mengenai ancaman UDD, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas keselamatan negara Suthep Thaugsuban berkata sekiranya kem itu diceroboh, undang-undang tentera akan digunakan di kem itu.

"Panglima tentera adalah bertanggungjawab untuk mengisytiharkan undang-undang tentera di dalam kem itu sekiranya ia diceroboh," kata Suthep kepada pemberita di sini.

Katanya kem tentera itu adalah pangkalan penting serta merupakan kawasan larangan dan kerajaan tidak akan membenarkan orang ramai untuk menceroboh kem itu untuk mencuri senjata dan menyalahgunakannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain