suria

Abhisit Ubah Fikiran, Setuju Adakan Rundingan

BANGKOK: Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengubah fikiran dan kini sedia berunding dengan pemimpin penunjuk perasaan anti-kerajaan demi kepentingan negara.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Satit Wonghnongtaey hari ini berkata Abhisit telah pun mengubah fikirannya dan bersetuju untuk berunding dengan empat pemimpin Barisan Besatu untuk Demokrasi menentang Diktator (UDD).

Satit berkata Abhisit mengubah fikirannya kerana kerajaan mahu mencari penyelesaian dalam merungkai kebuntuan politik semasa dan mengembalikan semula keamanan serta kestabilan di negara ini.

"Kerajaan mahu supaya negara kembali kepada keadaan asal dan mengurangkan keganasan," kata Satit.

Bagaimanapun, venue dan waktu untuk perundingan itu masih belum ditetapkan.

Dalam ucapan mingguannya yang disiarkan menerusi televisyen sebelum ini, Abhisit menyatakan beliau tidak akan berunding dengan penunjuk perasaan yang menjadikan ugutan sebagai syarat.

Semalam, Pemimpin UDD Veera Musikapong mengugut untuk memanjat pagar Rejimen ke-11 Infantri di sini, jika beliau tidak dibenarkan memasuki kem itu bagi mengadakan rundingan dengan Abhisit.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin UDD Natthawut Saikua memberitahu perhimpunan besar-besaran di Jambatan Phan Fa, di sini bahawa kerajaan telah pun menerima desakan mereka supaya mengadakan rundingan.

Beliau berkata Institut King Prajahipok di wilayah Nonthaburi boleh dijadikan lokasi rundingan sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan.

Natthawut berkata selain Abhisit, kerajaan juga akan membawa tiga lagi perunding lain memandangkan UDD akan diwakili oleh empat perunding.

Natthawut tidak menamakan perunding daripada pihaknya namun difahamkan kumpulan itu terdiri daripada Veera, Jatuporn Prompan, Dr Weng Tojirakarn dan beliau sendiri.

Kumpulan baju merah masih mengadakan perhimpunan di Jambatan Phan Fa dan Rejimen ke-11 Infantri iaitu lokasi pusat pemerintahan kerajaan untuk memantau penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Natthawut berkata kumpulan baju merah tidak akan mengadakan perhimpunan di venue rundingan itu seperti yang diminta oleh pihak kerajaan.

Setakat 12 tengah hari (1 tengah hari waktu Malaysia), rundingan itu masih belum berlangsung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain